myspace codes
Click here for Myspace glitter graphics and Myspace layouts
-->

Friday, August 21, 2009

Nemon, Bitari dan Ciliks Blue mengucapkan..


Selamat Datang R A M A D H A N !!! =)

Nemon, seekor ikan kecil ala-ala mini sepat bersama kilauan belang-belangnya meluncur laju membelah arus tenang balang. Seolah-olah mahu mengusir Bitari, si panglima ikan yang gagah tapi lebih kecil sedikit saiz tubuhnya. Namun pergerakan yang pantas itu sama sekali tidak dapat menandingi kelicikan sepasang Ciliks Blue yang aktif berenang ke sana ke mari, malah licik sekali bersembunyi di sebalik rumpai-rumpai palsu itu.


Balang kaca istana sederhana -nemon memang suka publisiti.. =p


Pagi-pagi akanku beri salam pada keempat-empat makhluk Tuhan ini, walaupun selalu sahaja kehilangan salah satu Ciliks Blue. Adik beradik Ciliks Blue ini merupakan ikan paling kecil bersaiz ikan bilis + beberapa milimeter lebih sedikit. Sungguhpun kecil, tapi mereka tetap menyerlah dengan garis biru berkilat yang gah melintang dari mata ke ekornya. Cantik!

"Kamu, kamu dan kamu.. mari saya bagi makan. Nanti puasa, kamu pun kena puasa sekali.."

Hati ini terasa bagai mahu ketawa bila mengenangkan ikan-ikan peliharaan itu juga nanti terpaksa berlapar bersama-sama. Ish, kejamnya saya. Tapi, mungkin juga nanti ikan-ikan ini boleh mengelat, 'sambil menyelam minum air'! Hahaa.. bisikku mengomel sendirian.

Sehari dua ini, si Nemon nampaknya lebih aktif dari lazimnya. Tak pasti apa yang menyebabkannya begitu, tapi begitu ketara Nemonlah yang paling kuat makan di antara semuanya! Badan sahaja cantik, tapi tak sangka jahat juga dia menggugah si Bitari. Keluh hati lagi.

Hey! Jangan sesuka hati berbicara tentang ikan-ikan itu begitu dan begini. Tahukah kamu apa yang dibualkan oleh ikan-ikan itu?


Nemon : Kau dengar tadi, katanya kita mesti berpuasa sekali.

Bitari : Mestilah, puasa itu wajib. Kan Allah berfirman dalam ayatNya:

"Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan dari petunjuk serta pemisahan antara haq dan batil. Maka siapa yang menyaksikan bulan itu, harus puasa dan siapa yang sedang sakit atau dalam berpergian, maka boleh dibayar pada hari-hari yang lain."
al-Baqarah : 185

Nemon : Bermakna kalau aku dalam pelayaran berbatu-batu aku tak perlu puasa lah. Hehe.

Bitari : Jangan mimpilah, kau dalam balang ini jea. Takde batu-batunya. (Sirip bawah Bitari dikibar semakin laju, tanda protesnya).

Tahu tak, puasa ni bukan calang-calang ibadat. Semua amal kelakuan anak Adam dapat dicampuri kepentingan hawa nafsu, KECUALI puasa. Sebab itu orang kata ibadah puasa ni bukan untuk kita, tapi untuk Tuhan. Allah sendiri yang akan membalasnya..

Bukan itu sahaja, pada bulan Ramadhan ni, pintu-pintu syurga dibuka, dan pintu-pintu neraka ditutup. Bahkan syaitan semua dibelenggu, maka dengan itu sewajarnya nafsu manusia itu tiada lagi alasannya untuk tertarik ke sana ke mari.

Bitari mula berenang mundar mandir di hadapan Nemon, lagaknya seorang cikgu sedang mengajar anak muridnya.

Nemon pula tak terbuka mulut untuk berkata-kata. Matanya menurut dengan sabar pergerakan Bitari, bagaikan ternanti-nanti bicara Bitari yang selanjutnya.

Bitari : Aku tak fahamlah dengan manusia.

Nemon cuba mengerutkan keningnya, tanda kurang mengerti kata-kata Bitari, tapi kemudiannya baru tersedar bahawa dia tak punya kening. Ehems. Kawal macho!

Bitari : Peluang ini datang bukan selalu. Jenuh nak menunggu setahun baru ketemu. Itupun kalau usia masih berbaki. Tapi, manusia ni tak reti nak mensyukuri nikmat Ramadhan yang Tuhan berikan. Mengaku puasa, tapi hidup masih penuh gejala. Pacaran ke sana ke mari tanpa mahram menemani, sedangkan Tuhan itu sentiasa memerhati...

"Belum kira yang lidah melontarkan perkataan-perkataan yang kurang sopan, maki hamun.."

Panjang keluhnya. Nemon beralih ke sisi Bitari, meneduh di bawah pohonan rumpai palsu itu. Tak tahulah apa yang nak diteduhkannya.

Nemon : Setahu aku puasa itu kan perisai. Perisai dari al-Hawa'.

Kebetulan si Ciliks Blue berdua telah lama memerhatikan gelagat mereka. 'al-Hawa'? Terngiang-ngiang perkataan aneh itu dalam insangnya. Tersangat ingin tahu, si Cilik kecil bertanya, "Apa itu al-hawa' abe Nemon?" Cilik kecil ini asalnya Laut dekat dengan Kelate.

'al-hawa tu adalah semua benda selain dari Islam'.

Tahukah kamu, dari segi bahasanya, 'hawa' bermaksud menurun @ menerjun.

'al-hawa' merujuk kepada sesuatu yang ada dalam diri manusia yang menyebabkan dia jatuh.

Faham apa itu jatuh? Mungkin boleh disamakan dengan jatuh mertabat, jatuh nilai sebagai seorang manusia, yang mana pada awal kejadiannya Allah telah menciptakan manusia itu semulia-mulia makhluk. Dan telah Allah amanahkan dunia ini kepada manusia untuk ditadbir, dimakmurkan dengan syariatNya. Manusia sanggup terima, sedangkan makhluk-makhluk Allah yang lain semua menolak...

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."
surah al-Ahzab : 72

Tapi disebabkan oleh al-hawa ini, manusia jadi keliru, manusia jadi lupa akan matlamat hidupnya di dunia. Berhibur, berlibur. Pergi sekolah, dapat sijil, bekerja, bekerja dan terus bekerja sampai tiba usia pencen, kemudian baru nak ingat beramal dengan agama. Habis, ke mana janji-janji mereka dengan Tuhan dahulu? Lihat sekarang, bagaimana manusia. Agama sekadar part of life. Sedangkan bukankah sepatutnya agama itu menjadi the way of life? Ad-deen itu adalah cara hidup. Sepatutnya apa yang kita lakukan, kita kerjakan semua mengikut garis-garis yang Allah tunjukkan. Sebab kita hamba, apa yang kita tahu? Allah yang Mengetahui segala-galanya. 'Maha' itu milikNya. Tapi masih ada yang meragu-ragukan sistem Islam untuk dilaksanakan sepenuhnya dalam dunia.


'Hidup ini bukan setakat beramal sahaja.'

Si Cilik kecil mengelip-ngelipkan matanya. Seketika kedua-dua sirip comelnya berhenti mengibar. Mungkin masih cuba memahamkan apa yang cuba disampaikan oleh abe Nemon.

'Muslim hari ini ramai yang tersalah anggap. Pada mereka, Islam itu hanyalah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Cukup rukun 5 dan rukun 6, itulah Islam. Asalkan bertudung (pendek, jarang lain kira), asalkan solat (walau tak cukup 5) pada mereka itu sudah ikut perintah Tuhan. Sudah Islam namanya.

Sedangkan tahukah kamu, syahadah itu saja menuntut sesuatu yang besar dari pelafaznya?

Kamu bersaksi, bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Kamu tahu apa yang seorang yang benar-benar saksi lakukan?'

Kedua Ciliks Blue mengelengkan kepala. Ekor mereka ikut beralun. Cantik. Bitari turut membulatkan matanya ke atas. Serasanya ada sesuatu yang menarik pada pernyataan itu. Apa yang cuba Nemon sampaikan??

'Biasa lihat Roda-roda Kuala Lumpur? Kalau berlaku kemalangan, siapa yang akan dipanggil ke mahkamah?'

'Saksi,' serentak Ciliks Blue menjawab. Tersengih sambil menggeselkan sirip sesama mereka.

'Jadi kamu sudah faham sekarang.'

Berkerut keduanya tanpa kening.

'Apakah yang seorang saksi perbuat? Adakah sekadar duduk melihat kejadian lalu mendiamkan diri. Itu bukan saksi namanya. Saksi kejadian itu mestilah hadir ke mahkamah untuk menyampaikan kepada orang ramai (termasuk hakim) tentang apa yang telah dilihatnya. Itu kerja saksi, tanggungjawab seorang saksi.'

'Jadi kalau muslim yang sekadar menyimpan sendiri Islamnya itu... hari-hari dalam hidupnya adalah beramal semata. Apakah sudah selesai Rukun Islam yang pertama itu?'

Si Cilik kecil mengangguk-angguk faham. Benar, ramai di antara manusia yang mengaku Islam hari ini tersalah faham tentang itu. Sangka mereka rukun pertama itu hanya lafaz semata. Walhal disebaliknya tersandar TANGGUNGJAWAB yang cukup besar yang masih belum terlaksana. DAKWAH. Misi dakwah yang masih belum selesai.

Nemon puas hati melihat sahabat dan adik-adik kecilnya faham tentang konsep itu. Alhamdulillah.. sekurangnya-kurangnya tanggungjawabnya untuk menyampaikan ilmu itu terlaksana. Semoga nanti Bitari dan Ciliks Blue bisa pula mengomongkan pada makhluk-makhluk lain pula. Biar semua sedar, Islam kita bukan Islam biasa. BUKAN seperti kebiasaan yang difahami umat Islam hari ini.

'Islam itu SISTEM, yang diturunkan oleh Allah agar seluruh manusia berpaksi padanya. Kita tidak boleh meletakkan sistem Allah dalam satu neraca manakala alam kebendaan atas nama 'kemajuan' pada neraca yang satu lagi. Senang kata, Sistem ALLAH itu tak boleh dipisahkan dari kehidupan.'

"Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai suatu apapun) kecuali dengan cara yang diatur oleh ALLAH..." 
[at-Takwir :29]

'Dengar ini adikku, seseorang m u s l i m tidak dibolehkan langsung berhukum kepada al-hawa atau merasa senang hati dengan al-hawa.

"Kalau sekiranya al-Haq mengikut al-h a w a mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan apa-apa yang ada di dalam keduanya." [al-Mukminun : 71]

Ingat, Islam itu sistem yang diturunkan oleh Allah. Sistem bermakna menyeluruh! Bukan sekadar cebisan-cebisan amal. BUKAN ritual. Pakaian kita mesti ISLAM, hati kita ISLAM, kelakuan kita ISLAM. Kerja kita ISLAM. Pembelajaran kita ISLAM. Kasih sayang kita ISLAM.

Buang semua ikatan yang bukan Islam yang ada pada kita!' Demikian Nemon menamatkan bicaranya.

'Tapi.. bagaimana kita nak tahu apa yang Islam dan apa yang tidak?' tiba-tiba si Cilik kecil bertanya.

'Kerana itu Tuhan telah menurunkan al-Quran kepada kita. Apakah kita tidak membaca dan mempelajarinya?' jawabnya sambil tersenyum... 


Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Jika kamu sedang berpuasa, maka jangan berkata keji, dan jangan marah dan jika ada orang memaki atau mengajak berkelahi, hendaknya diberitahu : Saya berpuasa."
(HR Bukhari & Muslim)


Mungkin Ramadhan kali ini boleh menjadi langkah pertama =)

3 comments:

  1. bagusnya entri nie.. penyampaian bersahaja..
    isi sangat padat..

    Moga Allah beri kesedaran yang sebaiknya kepada kita.. sama2lah kita pohon selalu hidayah dan taufiq darinya..
    Ramadhan nie..InsyaALLah..satu titik mula..

    mari bersama usahakan islam yang sebenar dalam diri, keluarga, seterusnya masyarakat dan negara..

    ReplyDelete
  2. ..seronok!!selamat ramadhan..
    bekas kaca ikan tu sebijik mcm kt umah aku..
    aku letak ikan dan tumbuhan hijau jgk..tapi ikan byk sket la..

    ReplyDelete
  3. .: anonymous :.
    =) insyaAllah..moga tuhan permudahkan. Ya Allah, perbaikilah urusan kami untuk kami..amin

    .: haririhazwan :.
    selamat ramadhan juga (^^)
    hhaa..ko bile datang dublin weh. ahlan..ahlan.

    ReplyDelete

Mhu menjadi yang terbaik. Umat terbaik!

Secebis Renungan...

Islamik Testimonial