myspace codes
Click here for Myspace glitter graphics and Myspace layouts
-->

Tuesday, June 30, 2009

Hormatkan YB atau azan? [catatan 22/6]

Alhamdulillah, perjalanan yang panjang itu telah mengizinkan aku merasai bahang Khatulistiwa, yang membuahkan durian dan segala jenis buah-buahan yang sudi memunculkan diri di kebun ayah.
.
Kepulangan yang disambut oleh si gonggok yang membabai di langsir pintu bilik. Koloni ini masih tidak pupus dari singgahsana kami rupa-rupanya. Hari-hari ayah mengaut berkilo-kilo ulat gonggok yang merayap di serata rumah, tetapi spesies ini nampaknya masih bertahan dengan hebatnya (Apakah rahsianya???). Hampir setahun saya pergi, tapi nampaknya hari ini rumah ini masih dikongsi bersama golongan yang banyak kaki itu. Di lantai, di perabot, bahkan di bumbung! Saya tidak kisah sangat, tapi bilamana tengah gelap malam anda menyentuh sesuatu yang melingkar di lengan anda, reaksi apakah lagi yang patut berlaku. Saya bingkas bangun dan membuka lampu bilik. Sah! Si gonggok itu pandai pula lari dan menyembunyikan diri di bawah katil. Huhh.. 120 heart beats. Terasa lebih selamat tidur bersama earphone di telinga..
.
Bicara nenek tempoh hari pada saya agak melucukan. 'Jembalang tanah', saya bukan menidakkan terus, tak mustahil makhluk-makhluk Tuhan yang di alam lagi satu membuat onar di rumah ini. Tapi, dendam apakah yang masih belum terlerai antara kami.. Saya tidak pernah mahu menggilis 'kereta api' itu (tapi ibu selalu.. =(. Cuma sekali itu saya terpecahkan kamu..hhuh. Maaf sangat, tak disengajakan. Hakikatnya proses menggilis itu lebih ngeri buat saya. Huhhh. Saya lebih rela mematikan kalian dengan cara lain, setidak-tidaknya dalam keadaan anggota yang masih sempurna! (nyamuk dikecualikan)
.
Berhari-hari di rumah, saya perhatikan banyak juga jentik-jentik yang diternak secara langsung dalam rumah ini. 'Laporan' sudah dibuat, tapi nampaknya 'pegawai-pegawai atasan' masih endah tidak endah. Mahu tunggu kes denggi kah?? Hurm.. Kewujudan mereka yang tidak patut telah melupakan saya pada sesuatu yang patut. Ayam? Hari ke-7 bertapa di dalam Lelong's Height ini, baru saya perasan akan kepupusan spesies ayam di rumah kami. Itupun setelah dikhabarkan emak. Dari anak-anak hingga ke bapa-bapa ayam yang pernah menunjuk bulu pelepahnya di rumah ini, semuanya telah dibaham encik musang satu persatu, sehingga tidak wujud seekor pun. Padanlah saya terasa simen-simen kaki lima dan verandah rumah seakan aman dari sesuatu -tiada lagi tahi-tahi ayam yang menempel di situ.
.
Amankah? Aman pada mata, tidak pada hakikatnya. Hujahnya, ancaman encik musang yang saban hari menunjuk belang. Bahkan, saban malam, pintu besi verandah rumah juga terpaksa di tutup, siap bersangkutkan rantaian besi. Bila ditanyakan untuk apakah itu, kata emak, mengelak encik ba alif ba ya dari menjenguk ruang rumah. Hah?? Begitu sekali ziarahnya?! Seakan kami kaum kerabat terdekatnya pula. Alahai...Lelongku yang semakin hilang damainya.
.
Maaf, penceritaan masih tidak menyentuh tajuk di atas. Bukan apa, kedamaian bagi saya tidak berhenti di pagar rumah. Desa ini dan penghuninya yang kucinta, kupohonkan keamanan untuk mereka jua. Aman dunia, jua di akhirat sana..
.
Semalam, saya menghadirkan diri di padang sekolah rendah saya. Hari Sukaneka dan Keluarga daerah terpencil ini, suatu keramaian yang patut dibanggakan. Ukhwah ummah harus disemai tidak kira usia, dari kecil hingga tua. Saya gembira untuk itu (walau tidak untuk sesetengah aktivitinya). Sayangnya, ada satu dua perkara yang lebih utama (bagi saya) yang memberi didikan langsung yang tidak baik.
.
Sampah. Kelihatannya cawan-cawan polisterina terdampar di sana sini, baik di tebing jalan, mahupun di bawah khemah-khemah. Apakah pihak JKKK terlupa memasukkan plastik sampah ke dalam senarai perkakas yang perlu ada pada keramaian itu? Hasilnya, adik-adik kecil saya yang masih rebung untuk dilentur sewenang-wenangnya mencampak bekas minuman percuma mereka. Ingin sahaja hati ini menegur tingkah yang mencacatkan pandangan mata itu. Hendak ditunjukkan tempat membuang yang betul, malangnya sejauh mata mencari -TIADA. Bagi warga yang lebih tua, saya tidak tahu ke mana mereka mencampaknya. Mungkinkah setaraf anak-anak kecil itu juga(?). Kebersihan itu kan sebahagian daripada iman. Sewajarnya yang lebih tua memandu anak-anak ke arahnya.
.
Sesuatu yang lebih menyayatkan hati yang mendengarnya. Kebetulan diri ini masih sudi berpanas hujan (sememangnya panas dan hujan silih berganti) sambil menanti ucapan YB dan pengerusi bersilih ganti. Jam di tangan sudah melangkaui nombor 1. Lincah pengerusi menjalankan sesi cabutan bertuah, sayup-sayup kedengaran laungan azan dari masjid yang tidak lebih 1 kilometer dari padang sekolah. Makcik-makcik di sekitar saya sudah berbisik tegur. (Bisik tegur yang berupa laungan) Mungkinlah encik pengerusi terlalu jauh untuk mendengarnya. Secara tiba-tiba mikrofon bertukar tangan. Kedengaran butir-butir YB berbicara seminit dua. Peralihan suara-suara itu membolehkan azan didengar dengan jelasnya pada semua penduduk peribumi desa ini. Dan seketika kemudian..kedengaran semula saudara pengerusi, mengulang statement encik YB, sangka saya YB berhasrat menangguhkan majlis, tetapi rupa-rupanya beliau terpaksa pulang segera, minit mesyuarat pukul 2. Kedengaran lagi suara pengerusi lantang bergema..
.
"..pihak majlis ingin memberi laluan.."
.
Alhamdulillah, lapang saya mendengarnya, walaupun azan sudah setengah perjalanan. Namun, kelapangan itu tidak lama. Sesaat bicara disambung, memberi laluan kepada YB berangkat pulang. Huhh.. Apakah YB atau azan, masyarakat Muslim hari ini sudah keliru mana satu yang patut diutamakan?
.
Majlis diteruskan, tanpa menghiraukan azan. Mungkinkah tok imam yang menjadi hero menimbang bola sepak raga tadi telah terlebih dahulu pulang.. Bagaimana ummah akan bangkit jika kita melupakan tiang..
.
.
Diri ini berkata bukan tanda baiknya
Sekadar hadiah perjalanan untuk renungan bersama

Monday, June 15, 2009

Destinasi Akhir..


Flight 655pm kami bertemu landasannya di Girona Airport pukul 720 petang diiringi tepukan gemuruh para penumpang. Rasa mahu gelak juga melihat penumpang yang begitu meraikan keberjayaan pilot dan seluruh kakitangan Ryan Air. ‘kalau macam ni, aku pun nak jadi pramugari lah’ ahhaha. Ahli jelajah keempat nampak bersahaja, kerana bukan pertama kali baginya menyaksikan situasi sebegitu. Tapi bagi kami, ini yang pertama!

Rupanya Girona Airport terletak jauh dari Barcelona. Kami terpaksa membeli tiket bas (return) dengan harga 21euro. Perjalanan yang panjang (iaitu dalam lingkungan 1jam) itu terasa seperti sebuah perjalanan di lebuh raya Malaysia. Baik pokok, jalan raya, bangunan-bangunannya…benar-benar terasa inilah Kuala Lumpur yang kedua. Tanih di bumi Barcelona ini juga bertutup dengan rumput, tiada lagi ‘savannah area’. Haih, hati sudah merindukan tanah sendiri. Walaupun asalku bukanlah di ibu Negara, tapi melihatkan gemerlap bandar Barcelona yang sangat besar, neon-neon yang terselit di sana sini, kami memikir nasib bagaimanakah kami mahu mencari hostel kami di gelap malam begini, bahkan di sudut manakah hostel kami dari stesen bas nanti?!

Seperti yang dijangka. Jam 855 di Stesen bas Barcelona menjanjikan sebuat kaunter informasi yang ditutup (bahkan di airport lagi). Kami terpaksa mengambil teksi dengan harapan janganlah hostel kami terletak jauh dari city. Risau juga duit poket nak bayar harga teksi. Huhu. Alhamdulillah, hostel kami dijumpai dengan kadar tambang yang tidaklah mahal. Lega. Dan yang paling gembira, pintu bilik hostel Cuma beberapa tapak dari reception counter!

Bilik paling bawah dan pertama dari muka pintu hostel.

Saya tidak mahu bercerita tentang Barcelona. Cukuplah gambar-gambar di bawah mengungkapkannya. Yang pasti hajat hati nak menjejak pepasir di pantai Barcelona hanya berakhir dengan suatu lontaran mata yang lesu. 50meter dari pantai, tak sampai hati nak berganjak lebih dekat kerana kehadiran begitu banyak makhluk yang sedang menyeksakan diri di pepasir sana. Huh. Apakah perasaan beramai-ramai dalam keadaan begitu…isk.

Searching for access into Estadio Barcelona...penat kena pusing baru jumpa =(

My first cable car (to Montjuic)


Menapak ke Port Vell

Sagrada Familia

4JUN 930pm –kami meninggalkan bumi Spain bertemankan sunset yang sungguh indah sepertimana kami tiba di Barcelona 2hari yang lalu. Meninggalkan bumi masyarakat yang rajin membaca buku. (walau di mana, pasti kelihatan yang memegang buku, sekalipun dalam metro). Meninggalkan kenangan beratur di escalator hanya di sebelah kanan jika mahu membatukan diri. Bersesuaian dengan pemandunya yang berada di sebelah kiri. Jadi ikut kanan melainkan jika hendak memotong (^^).

Gambar termahal kami! -selaku gambar terakhir kami di sini

Terbang. Terbang kembali ke Dublin bersambutkan mega merah yang masih tidak hilang meskipun jam sudah mencecah 11pm.. (kini benar-benar nampak kenapa kami dibolehkan jamak maghrib dan Isya’).

Adios España!

 

2115 bakal menuju London.

Hola Malaysia =)

Kembara A L - H A M R A

Pagi terawal yang pernah kami redahi sepanjang jelajah ini. Sekalian ahli jelajah tidak tidur selepas Subuh itu. Jam 0610 lagi, semua sudah bersedia untuk check out hostel. Menarik beg troli memecah sunyi hening pagi, kami mendapatkan ‘trem Subuh’. Nampaknya kenyataan dari Turistica Informacion semalam bahawa trem itu mula beroperasi jam 0700 tidak tepat sama sekali. Termangu-mangulah kami menanti bas kami yang akan bertolak ke Granada tepat jam 8pagi.

Jam 1130 – bas tiba di Granada. Alhamdulillah pencarian hostel al-Cazaba Pension tidak begitu sukar (seperti Sevilla). Setibanya kami di hostel, pakcik yang menjaga hostel itu sangat peramah dan fasih pula berbahasa Inggeris. Beliau sangat prihatin dengan perancangan kami di bandar itu. Sampaikan kami disuruh segera menyemak tiket masuk al-Hamra, sedangkan kunci bilik pun tak diberi lagi. Kebetulan pula kami dapati booking kami rupa-rupanya bermasalah. Kad kredit juga tak terolak langsung. Resah juga, kami cuma ada sehari di Granada, petang esok kami bakal berkejar ke airport untuk ke Barcelona. Kalau perancangan kami tergendala, mana mungkin kami sempat untuk meneroka al-Hambra yang perlukan masa yang boleh tahan lamanya. Maka, atas nasihat dan harapan yang beliau berikan juga, kami segera masuk bilik dan terus meninggalkan barang-barang lalu bergegas mengambil bas kecil ke puncak al-Hamra. 

Syukur Alhamdulillah, kami sempat membeli tiket masuk al-Hamra yang bermula jam 2petang. Nampaknya hari ini hari paling tak rehat kami (^^). Meneroka al-Hamra yang sungguh luas! 3jam mungkin kami berkelana di dalamnya sehinggalah menemui pintu ‘salida’ (exit) yang sebenar.

Kami pulang semula ke hostel dengan hanya berjalan kaki, menuruni bukit merentasi kota Granada berpandukan peta di tangan. Mujur, al-Hamra tidaklah sejauh mana. Hasilnya, kami pulang ke hostel dengan souvenirs! Terserempak pula dengan pakcik yang baik tadi. Dia menyapa mesra kami.

“Do you know it’s not allowed to cook in the hostel. Moreover it’s dangerous to leave the electricity tool on while you go out..”

Adehhh..kantoi pula kami masak nasi. Kami hanya menganggukkan kepala sambil meminta maaf. Lagak tidak akan berbuat lagi. Tak sangka pula pakcik ni akan ‘menceroboh’ masuk bilik kami tika kami keluar tadi. Haih. Rasa tak puas hati dibalut cepat-cepat dengan sangka baik. Beliau sangat concern dengan customernya, mungkin sebab itu beliau masuk untuk lihat kalau-kalau ada apa-apa yang tidak cukup. Kelakar rasanya, inilah pertama kali kami ditegur tak boleh masak nasi.. Kelihatan plug rice cooker sudah bercabut. Mujur nasi di dalamnya sudah masak. Apa-apalah pakcik… Selesai bersolat, kami memasak sardine pula. Walaupun remote penghawa dingin tak dijumpai, tiada siapa mahu bertanya pakcik tadi. Bimbang nanti dia masuk bilik dan terbau sardin pula!

Pagi kedua di Granada, kami bersiap-siap, check out dan meninggalkan luggage di bawah jagaan mereka. Mengikut perancangan yang telah diubahsuai malam tadi, hari ini kami akan meninjau penempatan al-Baycine yang terletak di sebelah al-Hamra. Ahli-ahli jelajah sudah tidak sanggup menempuh Garden al-Hambra (yang hanya boleh dimasuki dengan tiket yang berlainan) kerana petang semalam sahaja jenuh sudah kami meneroka taman-tamannya atas tiket ‘General Life’. Kami memanjat bukit al-Baycine dengan bas, melihat apa yang ada dan seperti semalam mencari jalan pulang dengan kaki…



al Hamra, singgahsanamu pernah bersinar...



berlatarkan al-Baycine dari al-Hambra


Duka atau suka?


“Waaaaaaaaaaaahhhhhhh……”

Tiada apa yang lebih meriuhkan hati di dalam ini melainkan jutaan bunga-bunga matahari di kiri dan kanan highway. Begitu teruja. Terasa mahu sahaja meminta pakcik bas berhenti sebentar. Berilah kami barang sesaat dua untuk berdiri di celahan jutaan bunga matahari yang ditanam dalam baris-baris yang cantik itu. Ouh, cantiknya!

Ladang mentari ku (^^)

Itulah pemandangan yang akan kami tempuh tiap kali kembara dari satu negeri ke satu negeri di bumi España ini. Sorotan ladang matahari demi ladang matahari acapkali memenuhi ruang mata sejak kami bergerak dari Madrid ke Cordoba lagi. Dan kali ini, perjalanan ke Sevilla juga dikurniakan keindahan yang sama. Kamu tak boleh membayangkan, betapa besarnya ladang itu. Besar amat, seluas mata memandang. Tak pernah terbayang bunga-bunga matahari akan ditanam sebanyak itu, selama ini hanya menjumpai rumpun-rumpunnya sahaja. Paling tidak memori sepohon matahari ibu yang ditanam di depan rumah di Taman Sri Indah, Sabak Bernam dahulu tika familiku bermastautin di Selangor. Memori sekeping gambar kepala botak adik di sebelah matahari ibu di depan rumah.

“Bunga matahari sangat cantik,

Kembang di waktu pagi,

Darinya pagi hingganya ke petang,

Tak jemu kumemandang..


Bunga matahari sangat cantik,

Di halaman rumahku..

Darinya pagi hingga ke petang,

Memikat kumbang lalu..”

Siapa masih ingat, ini lagu yang kupelajari di sekolah rendah dulu-dulu. Darjah satu atau dua barangkali. Dulu kalau melihat bunga matahari ibu, padaku tidaklah cantik sangat. Cuma istimewanya, bunga itu besar! Lebar, dengan bulatan tengah yang nampak seperti baldu. Aha, mungkin juga sebab tiada harumnya, aku memandangnya sebelah mata. Tapi hari ini, jutaan bunga matahari itu memikat hatiku. Sayang sekali, aura kesemulajadiannya terhijab oleh kaca tingkap bas. Ouh, pakcik…tolonglah berhenti.. 

Sesekali driver bas itu mencuri pandang kepada kami melalui pantulan cermin di hadapannya. Macamlah faham bahasa Melayu lagaknya. Kalau benar faham, pakcik berhenti! Hehhee.. Sohihlah, kami tak berkesempatan langsung untuk menatap keharmonian hijau ladang dan kuning kelopak-kelopaknya si mentari secara live. Semuanya ibarat keindahan-keindahan yang terwujud di luar sebuah pameran kaca (sementelah kamilah yang didalamnya!). Huhu..

 

S E V I L L A

Bandar yang diluar jangkaan kami. Sangkaan kami, nama itu tidak pernah didengar sebelumnya, dan kurang pula menjadi tarikan pengembara-pengembara. Maka, mungkinlah ia satu daerah yang entah di mana-mana, terpinggir dari kemodenan dunia, setidak-tidaknya kami membayangkannya sedamai Cordoba. Tapi, tilikan ahli musafir sekaliannya tertolak. Bandar apakah ini dengan 3buah ZARA dalam jarak tak sampai 1kilometer. Aih..

Yeap, di celah-celah pelusuk kedai-kedai yang ‘berjenama’ itu, fikirkan di manakah tempat tidur kami kali ini. Ouh, atas budi baik kakitangan AAE Pino Hostel.. sampai hati kalian mencampakkan kami ke atas bumbung hostel?! Terasa tidak boleh menerima hakikat itu setelah berkilometer jenuh diri ini menapak di bawah terik mentari petang yang masih hebat bersinar, semata-mata untuk mencari di manakah letaknya hostel kamu. Entah apalah nasib kami, menjadi antara penginap yang bertuah untuk mendapat bilik yang benar-benar di atas bumbung bangunan kota Sevilla dengan khidmat tangga semata untuk menjejak ke puncaknya. 3bilik di atas itu, dan kami menduduki 2 daripadanya. Maka secara tak langsungnya, kamilah yang bermaharaja lela di atas bumbung itu. Mujur juga bumbung itu menjanjikan ampaian baju..dapat membasuh baju dan kering dengan cepatnya! -p

Tiada apa sangat yang hendak diceritakan tentang kembara kami di sini. Antara yang menarik, kami mengunjungi satu lagi al-Cazzar dengan kemasukan percuma atas tiket ‘student’. Juga kami menjumpai banyak senibina Islam di dalamnya. Pasti istana itu dahulu pernah menjadi milik kita. Bukti betapa Islam pernah menakluki bumi Andalusia. Betapa kita pernah menguasai 2/3 daripada dunia!

al-cazzar de Sevilla

the caliph bath

Sempat juga memanjat ‘Torre Del Oro’ sebuah rumah api yang kini telah dijadikan Museo Maritimo dan turun smula dalam 15minit terakhir sebelum masa tutupnya. Mujur hanya 92 anak tangga. Dahulu, ketika Islam menguasai wilayah itu, menara ini berperanan penting dalam mengawal perairan mereka. Kami juga menapak ke Plaza de Espana, dan menjumpai sebuah Plaza yang aman damai dalam suasananya yang kelihatan agak terbiar. Plaza yang mententeramkan jiwa. Melihatkan reka bentuk bangunannya yang seakan berkubah tanpa sebarang unsur-unsur ‘t’. Dengan air pancut yang gebu di tengah-tengahnya. Ouh, petang yang damai sekali… (dalam hakikat kebosanan ekoran penutupan semua kedai di bandar Sevilla..mungkin hari Ahad mereka semua bercuti –supermacado pun kami tak dapat pergi..haih)

Di depan cathedral mereka..

Plaza de Espana -ku sangat suka kedamaian ini

Sungai Sevilla dari puncak menara Torre de Oro

Macam kubah kan??? hhe..pic taken at Plaza de Espana

Kegebuan air pancut yang mengujakan kami


Mezquita oh mezquita


Alhamdulillah.. 

Pagi itu kami datang lagi bersambutkan gerbang yang luas terbuka. Suatu rasa aneh hinggap di jiwa. Sebak memeluk pasak masjidku yang kini dijadikan gereja mereka. Sayu melihat suram-suram keindahan masjid yang kalau tidak jatuh ke tangan mereka, pasti aku mampu bersujud di dalamnya. Ouh, masjidku. Rumah Tuhanku yang telah dipenuhi berhala-berhala. Patung-patung dewa mereka yang menyekutukanNya. 

"Ini milik kami. Ini rumah kami", berkali-kali hati ini melafaz bagitu. Sejuk dingin dalam ruangan mezquita itu tidak mententeramkan jiwa, bahkan menambah sugul di dada. Pengunjung-pengunjung yang kadang-kadang memandang aneh kepada kami. Mungkin sebuah lontaran, yang ingin bertanyakan...'apakah perasaanmu wahai anak kecil melihat kebesaran yang pernah menjadi milikmu sebelum ini?'

Serasa ingin peluk tiang itu, tak mahu dilepas pergi. Ini milik kami!!! Serasa kerdilnya kami pada singgahsana yang telah diambil dari kami. Hampir gugur titisan ini.

Tapi tetap terpaksa kulepaskan jua. Mengejar bas kami yang bakal bertolak ke Sevilla dalam sejam dua lagi. Ku langkahi gerbang itu dalam terik pagi, melarikan mata dari simbol-simbol 't' yang ditampal di mana-mana, hatta lampu-lampu yang bergantungan. Benci melihat itu. Yang pasti, tiada aman dalam diri. Sebelum melangkah keluar, sempat ku bisik.. 

"Akan kami dapatkan kembali,"


Ukiran-ukiran yang pernah gah suatu masa dahulu..


Suasana di dalam Mezquita-Cathedral

Ruangan tengah mezquita berupa sebuah taman..

Ukiran yang terlihat di bumbung nya..


Saturday, June 13, 2009

Salah Siapa...


Hari kedua di Cordoba, sekali lagi hidangan kami, sebiji kebab yang dibeli dari satu-satunya kedai kebab halal yang ditemui di daerah ini. Tapi bezanya kebab kali ini amat-amat lah digenangi cecair lipid. Tegakkan sahaja kebab, boleh takung semangkuk minyak. Itu baru milik seketul. Kalau digabungkan semua kebab-kebab kami, mungkin boleh dapat sebotol minyak saiz botol ‘air badak’. Isk..isk. Taubat kami tak mahu ke kedai yang perabotnya semua macam dah nak runtuh itu lagi.

Entah kenapa, terasa hari-hari sejak meninggalkan bumi Madrid hanya diterangi pelita suram. Jauh, hati yang makin jauh. Ouh, kenapa terasa banyak sangat yang kurangnya. Ceria yang palsu-palsu belaka. ‘Kerosakan’ apakah yang sukar benar hendak pulih ini... Mungkin sahaja kerana dosaku merosakkan hari orang lain sebelumnya. Maaf rakan-rakan, tempias itu malangnya mengenai kalian.

Pagi itu, sementara menanti kaunter Turistica Información buka jam 1000, sempat kami melawat al-Cazar (sebuah castle yang dibina khalifah Islam suatu ketika dahulu, tetapi kini berupa sebuah cathedral. Hampir semua bahagian bangunannya telah diubahsuai dengan patung-patung dan simbol T. Hanya satu dua bentuk yang masih kami cam sebagai peninggalan seni bina Islam. Castle ini mempunyai taman yang sangat luas..terhias dengan ratusan jenis bunga yang disusun atur dengan cantik. Terasa bertuah pula berkunjung ke sini ketika summer. Sekurang-kurangnya aura musim bunga masih ada =)


al-Cazar de Cordoba

Ruang bawah tanah yang masih dicarigali

ukiran siapa lagi, kalau bukan kita

D i atas benteng al-Cazar

Kawasan taman yang luas dari -pemandangan dari atas




Istana khalifah kita



Ukiran tokoh ilmuan Islam yang kami jumpa di sekitar Cordoba

C O R D O B A - tumpuan ilmuan Islam..apakah kini masih..

Sebaik sahaja kaunter informasi dibuka, kami segera mendapatkan maklumat untuk ke Medinatun az-Zahra, yang terletak 7km ke Barat Cordoba. Tengah hari itu terisi dengan lawatan ke tapak arkeologi sebuah kota pemerintahan Islam yang menjadi kemegahan beratus tahun dahulu. Pusat pemerintahan yang strategik sekali dengan kedudukannya di atas bukit. Tinggalan ini musnah dalam perang dan akibat tanah runtuh, namun tapak binaannya masih dipelihara khusus untuk tatapan pengunjung.


Kedudukan Medinatun az Zahra nun di atas bukit

Tapak masjid di level bawah sekali


Antara arkeologi yang masih tinggal (ada juga yang dibina semula)

Pulang dari Medina az-Zahra, bas yang membawa kami terpaksa menurunkan kami di seberang sungai, jauh dari tempat asal kami naik, iaitu di belakang al-Cazar. Jalan ditutup kerana ada event sedang berlangsung. Nampaknya ramai orang bertumpu di jauh sana. Kami mengambil kesempatan untuk meninjau kawasan tersebut setelah diberitahu bahawa tarian flamenco (yang sangat terkenal di Spain) turut ada. Hajat hati untuk melihat sendiri bagaimana flamenco yang disebut-sebut akhirnya kesampaian tanpa diduga. Selesai meninjau sebentar, kami berjalan pulang. Jenuh meniti jambatan yang sungguh panjang. Tapi kelihatannya masyarakat Spain ini tidak kisah, masing-masing dengan baju flamenco nya berjalan, ada yang bersama famili menuju ke pesta ria tadi. Sempat juga mendengar dendangan lagu tempatan. Kebetulan laluan kami terserempak dengan perarakan mereka.

Rakyat Spain dengan pakaian flamenco

3 gadis Spanish yang tidak lokek bergambar bersama kami (terima kasih jurukamera yang bermurah hati menyumbang budi)

Malam terakhir di Hostel Backpackers itu, sebuah keriangan menjadi tragedi. Dalam keterujaan melihat bunga api dari tingkap bilik hostel (dah lama tak tengok eh..hhu), tiba-tiba kedengaran bunyi yang sangat kuat. Padaku, mustahil dari bilik kami. Musykil juga, tapi masih belum tergerak untuk menoleh sampailah mendengar satu suara mengerang. MasyaAllah. Peringatan dari Allah. Kami beristighfar. Sesal pula dalam hati, kenapalah tak terfikir nak beri amaran bahawa katil double decker itu binaannya amat tidak utuh sekali. Bayangkan tingkat atas yang hanya ditampung oleh susunan kayu fleksibel secara melintang yang hanya dimasukkan ke dalam binaan plastik kecil di kiri dan kanan katil. Hari pertama tiba di hostel itu aku sudah mengesan. Kayu-kayu di atas kepalaku meleding bilamana seorang teman menaiki katil tingkat atas. Tambah pula ada antara kayu-kayu itu ‘hilang’. Maka berat beban akan bertumpu pada kayu-kayu (mungkin patut panggil papan kecil) fleksibel lain. Dan kerana itu tak mustahil bila 2makhluk normal bertumpu di hujung katil yang juga ‘kehilangan’ satu papan, berat beban bertumpu hanya pada dua papan. Puratanya, menjadi setiap seorang duduk di atas satu papan lembut. Sah-sah dua kayu itu tercabut dan menjatuhkan rakan-rakanku. Haih. Mujur tiada siapa di bawah katil ketika itu.



Antara seni bina ISLAM yang masih wujud walaupun dalam bangunan hostel Backpackers..kagum sungguh!

Hari ketiga di Cordoba, lewat pagi baru kami bangkit dan bergerak menarik beg troli menuju jalan San Fernando, untuk check in di hostel kedua kami, Hostel La Fuente. Kami terpaksa menginap di hostel yang berbeza di Cordoba kerana hostel-hostel semuanya sudah penuh untuk ditempah 3malam berturut-turut. Walaupun hanya berjalan kaki dan agak jauh, proses perpindahan tak begitu sukar kerana awal-awal lagi kami sudah survey jalan menuju hostel itu iaitu pada petang sebelumnya. Beg-beg ditinggalkan di stor (bilik kecil) hostel memandangkan bilik kami masih berpenghuni. Kami menuju stesen bas untuk membeli tiket ke Sevilla esok. Perancangan untuk melawat Mezquita tergendala kerana Mezquita tutup. Penat kami tawaf binaan Mezquita itu mencari jalan masuk dalam terik mentari yang sangat panas. Sudahnya, 2orang dari kami terpaksa kembali semula ke stesen bas untuk menukar waktu bas kami bertolak esok, supaya pagi esok kami sempat menjenguk ke dalam Mezquita. Alhamdulillah, tiket berjaya diubahsuai tanpa banyak cerita. Jadilah hari itu hari membeli-belah souvenir dari kedai-kedai sekitar Mezquita. Yang peliknya, kira-kira pukul 7pm ada antara kami yang keluar berjalan dan mendapati gerbang Mezquita itu terbuka. Hurm…Mungkin mereka takut kita datang beramai-ramai dan bersolat Jumaat di dalamnya. (spekulasi yang sengaja dibuat untuk mencari alasan – kenapa mezquita itu TUTUP tadi..haih).


Mezquita-Catedhral de Cordoba

Bahagian menara masjid (tapi kini dah dipenuhi 'unsur-unsur' Kristian)

Penat tawaf tak jumpa gerbang masuk..huh


Secebis Renungan...

Islamik Testimonial