"Dah jauh begini, terasa sepi pula."
Baru kini aku tahu rasanya melangkah ke alam universiti, yang sejak dulu kunanti-nantikan. Dulu tak sabar merasa. Kini baru tahu tinggi rendahnya. Sepanjang dua purnama, beberapa pemerhatian dapat aku simpulkan.
Kehidupan universiti terutama di rantau orang ini sama seolah-olah seperti kembali ke alam sekolah rendah semula. Pagi-pagi bangun. Sibuk menyiapkan diri. Kemudian bergegas menuju bangunan 'sekolah'. Kalau berkesempatan, seteguk susu akan mengalasi perut. Jamah makanan seadanya. Berlari mengejar masa. Ops, tak lupa membawa bekal untuk dimakan waktu rehat nanti. Dan nantinya dalam 'kelas' tak sabar menunggu saat pulang ke rumah. Tiba waktunya, 'hepi' tidak terkata.
Tapi, tetap tak sama. Kalau dulu, emak yang siapkan bekal. Tapi kali ini, aku harus sediakan sendiri semuanya. Kalau dulu, makanan yang dibawa sedap-sedap belaka. Paling kurang mi goreng, nasi goreng, kuih muih. Ahh, apa jua pun yang emak buat pastinya sedap! Air pula semestinya yang berwarna. Tapi, hari ini. Mungkin sekadar roti yang disapu planta. Air bujang mengisi poket beg galas. Bukan tidak mahu membuat. Bukan tidak tahu. Tapi kekangan masa mengehadkan agenda. Nanti pulang, harus memanaskan dapur lagi. Maka, rasanya cukuplah sehari sekali. Tak mengapalah, perutku pasti memahami. Andai tiba aura kerajinan yang keterlebihan, barulah merasa makanan yang berat-berat. Ahh..rindunya saat dulu-dulu.
Teringat botol air yang beraneka rupa. "Ribena", "Milo", "Vico", "Ovaltine", "Sunquick". Produk yang diperoleh percuma dengan setiap pembelian di Malaysia. Zaman kanak-kanak yang melucukan. 'Perebutan kuasa' untuk memilikinya pula tidak kurang hebatnya. Kalau tidak kerana kebijaksanaan ibu bapa untuk menanganinya, pasti 'perang dunia' meletus berpanjangan.
Kenangan zaman kecil-kecil terlalu banyak jika mahu diselak satu persatu. Bagaimanalah agaknya ibu dan bapa jenuh melayan kerenah kita yea. Kesabaran yang tinggi- pastinya rahsia utama.
Sedar tak sedar, terlalu banyak jasa yang telah dicurahkan oleh insan yang bertanggungjawab melahirkan kita ke dunia ini. Dari sekecil-kecil perkara, hingga sebesar-besarnya. Sentiasa dalam pengetahuan mereka. Tak perlu diterang lebih lanjut di sini, kerana setiap dari kita sewajarnya tahu. Cuma kita yang begitu angkuh untuk menghadiahkan walau sebaris "TERIMA KASIH".
Terkadang bukan sebab angkuh, bukan dek ego. Tapi, budaya keluarga yang menjadikan lidah kelu untuk melafazkannya. Diri ini pun tidak kurang kelemahannya.Sebab itu, sangat berhajat agar Tuhan menyampaikan rasa sayangku kepada kedua-dua insan yang jauh di mata. Harap sekali aku akan dapat berbakti kepada kalian, walau ku tahu pasti tidak dapat membalasi segalanya. Maafkan diri ini kerana sering melukakan, terkadang menyakitkan. Mohon ampun andai perlakuan terkadang melampaui batasan.
Terima kasih buat ayahanda dan ibunda yang telah membesarkan aku hingga hari ini. Moga ALLAH sentiasa memelihara kalian dan meneduhi dengan limpah rahmat dan kasihNYA. Moga kita semua dimatikan dalam keadaan beriman...terpilih untuk manjadi calon-calon ahli syurga...dengan izin ALLAH
8 years ago
No comments:
Post a Comment
Mhu menjadi yang terbaik. Umat terbaik!