Hari ini, aku merancang. Mata meliar jauh-jauh menatap peta dunia. Meneliti sempadan-sempadan negara yang ingin dilangkaui. Otak berserabut memikir mahu pulang ke Malaysia atau tidak. Bukan tidak rindu, bukan tidak mahu. Tapi, hati ini berat sekali. Takut tersalah memilih strategi. Akhirnya, entah kenapa sekonyong-konyong elektrik 'balik kampung' merenjat diri. Seketika itu juga aku menyetujui, dan tiket sudahpun ditempah.
"Status: Confirmed".
Tak sampai 5minit keriangan tadi hilang. Entah kenapa, terasa kekurangan di hati ini. Rasa kosong. Rasa tidak tahu, betulkah apa yang aku perbuat? Takut langkah yang telah diambil tidak bijak. Takut akan kerugian. Tamak. Manusia ini tamak. Manusia seperti aku sungguh tamak. Hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Takut dengan kerugian duniawi…
Kenapalah manusia ini sungguh tamak. Sudah tamak, tidak sedar diri. Merancang hidup, langsung lupa mati. Walhal, tiada siapa tahu esok masih bernyawa atau tidak. Masih muda…umur baru nak mula hidup. Kononnya. Semua itu mitos semata-mata.
MELAKA- Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun meninggal dunia dalam satu kemalangan yang tidak disangka-sangka di Ayer Limau.
Insiden ini tidak masuk dalam berita, tapi disampaikan kepada aku melalui teknologi Yahoo Messenger. Bunyi seperti sesuatu yang muak didengar. Tidak hairan kalau terselak di akhbar. Tapi, tidak untuk kali ini, sekurang-kurangnya bagi aku. Kerana aku kenal si mati. Aku kenal mangsa nahas. Dan aku tahu tempat kejadian. Laluan yang biasa aku lalui untuk ke MT.
Kejadian berlaku di depan rumah batu putih yang begitu cantik tersergam di tepi jalan utama, ketika mangsa membonceng motorsikal yang ditunggang oleh seorang kawannya mengekori sebuah kereta. Dan entah bagaimana, kemalangan berlaku ketika kereta tersebut cuba membelok masuk ke perkarangan rumahnya. Tidak tahu salah siapa. Yang pasti seorang cedera di kepala, tidak pasti sejauh mana keparahannya manakala si pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian. Kejadian ini disaksikan oleh abang saya yang kebetulan dalam perjalanan menuju ke MT.
Terkedu mendengar berita. Muda lagi orangnya, pelajar intelek yang bersekolah di SMS Alam Syah. Masih dalam suatu rasa kejutan. Seketika terbayang kelibat dua beradik yang sering berjalan pulang dalam uniform sekolah rendah, memikul beg berat di tengah terik mentari. Menyusur jalan lambat-lambat dengan secangkir kesabaran, demi setitis ilmu. Walau sudah lama tidak bersua secara rasminya mungkin sejak 8 tahun lalu, tapi aku kenal mangsa, junior sekolah rendahku.
Suatu perasaan yang sukar dimengertikan, apabila hari ini aku menghirup udara, merantau jauh, sedang seorang insan yang masih jauh perjalanan hidupnya pada mata manusia, telahpun menghembuskan nafas terakhir, terkujur di dalam longkang hanya atas sebab kemalangan 2hari yang lalu. Siapa sangka kemalangan pada hari itu terus meragut nyawa adik itu. Arwah sendiri pasti tidak menjangka, apatah lagi ahli keluarganya.
Siapa sangka laluan yang sering kutempuh dengan kenderaan yang sama jenis, hari ini telah menyaksikan satu kematian…
Siapa sangka kalau esok, lusa, atau mungkin dalam beberapa saat lagi Allah akan menarik nyawa aku, tanpa aku bersedia...
Tidak bersedia kerana aku lupa. Lupa bahawa aku tidak memiliki nyawa. Lupa bahawa Pemiliknya berhak mengambilnya bila-bila masa. Aku leka. Leka mencari hiburan dunia. Movie, city, chat, dan berbagai-bagai lagi hiburan alam siber. Malah sibuk merancang jalan mana mahu ditempuh, lurah mana yang ingin diteroka, seolah-olah begitu pasti aku akan menemui saatnya. Aku antara manusia-manusia yang terkabur dengan duniawi. Mengakui kematian itu pasti, tapi tidak bersiap sedia untuknya.
Kepada kalian yang membacanya, hanya secebis peringatan untuk diri ini dan anda semua.. Hidup kita tidak lama. Memang, pasti tiada siapa yang ingin menafikannya. Tapi, sejauh mana kita mengakuinya dengan seluruh hati kita, "bahawa hidupku dan matiku hanya untuk Allah.. bahawa apa yang kulakukan adalah untuk mencari keredhaan Allah..". Kita terkadang terlalu cintakan dunia, penyakit wahan menular di hati kita... Hingga terkadang tidak segan silu mencemar keindahan keIslaman lahiriyah dengan sesuatu yang selayaknya digelar dosa. Hingga kecantikan hati tercalar sedikit demi sedikit, meninggalkan luka hitam yang kita sering merintih akan kekosongannya. Kita selalu memandang kematian sebagai sesuatu yang menyedihkan, tetapi terlupa bahawa dosa-dosa kita yang menjadikan kesudahan kita sebagai sesuatu yang menyedihkan..
"Ketika orang lain bergantung pada dunia, gantunglah dirimu hanya pada Allah. Ketika orang lain merasa gembira dengan dunia, jadilah dirimu gembira kerana Allah. Ketika orang lain merasa bahagia kerana kekasih mereka, jadilah dirimu merasa bahagia dengan Allah. Dan ketika orang-orang pergi menghadap raja dan pembesar-pembesar untuk mengais harta dan mencintai mereka, jadilah dirimu betul-betul mencintai Allah"- Ibnul Qayyim-
Bersama menyedekahkan sekalung al-Fatihah untuk adik Ridhuan bin Abdullah yang telah kembali ke rahmatullah..(maaf kalau tersalah ejaan nama) Semoga Allah meletakkan ruhnya di kalangan golongan mukmin yang dijanjikan syurga.
alhamdulillah.dpt la skit tazkirah di pagi ni.. maznah,takut...
ReplyDeleteLeen, bersama melakukan yang terbaik di sini! Semoga Allah memelihara kita, hidup dan mati dalam iman, insyaAllah..
ReplyDelete