myspace codes
Click here for Myspace glitter graphics and Myspace layouts
-->

Sunday, July 19, 2009

Lelong ini istimewa..

.
Bismillahi wakafa. Salam sejahtera buat teman-teman seperjuangan. Semoga diberkati Allah senantiasa, moga hidupmu dalam redhaNya.. Lama tidak mencoret di sini. Ingin sekali bertanya khabar semua.. Moga yang sihat kekal bertenaga, dan yang sakit sabar dan redha dengan ujianNya.
.
Putaran bumi yang sementara, hidup yang penuh warna suram dan ceria. Gurauan, sengketa, moga ditabiri dengan kemaafan sesama kita. Semoga Allah merahmati kalian semua..
.
Hari ini saya ingin bercerita, tentang kenapa saya suka akan Lelong saya. =) [tajuk yang seakan soalan karangan mudah untuk kanak-kanak Darjah 2..hehe]
.
Okay kawan-kawan, saya suka kiranya anda tahu betapa saya menyukai rumah saya. Pagi-pagi nian nan indah bertemankan kicau-kicauan burung-burungan. Melihat gelagat si pelepah kuning melompat-lompat lincah, dan si kelicap madu bertenggek di sana sini menghisap madu bunga. Seketika berteman bunyi belatuk dan terkukur di senja hari, memecah gemersik sunyi sawit dan getah ini, membuatkan diri berasa di rimba asli. Saya mencintai 'hutan' ini.. meskipun ia menjanjikan gigitan nyamuk-nyamuk betina, bahkan si 'nyamuk banduan penjara'.Saya suka melihat si gembala-gembala kerbau bersayap yang menjalankan tugasnya menenggek di atas 'jamus-jamus'.. meskipun bau lubuk kubang-kubang mereka pasti menusuk deria-deria nosa. Dan bila si kurus bangau menemani mereka, terasa tak perlu melihat kamus bergambar lagi. Horey! Saya punya zoo asli..
.
Ya, saya mengenal burung-burung itu di sini, melalui alam realiti, bukan sekadar tampalan di Kamus Bergambar terbitan Fajar Bakti. Itulah keistimewaan kediaman ini..
.
Terlalu banyak kisah reptilia di sini. Baik darat mahupun yang di udara, setiap satunya akan kekal menjadi ingatan saya.. Tragis si burung murai yang penuh yakin terbang menerjah kaca gelap tingkap, jatuh terkulai di atas lantai...(anda boleh bayangkan sakitnya tak terkata..uhh). Episod ini pernah berulang dua, tiga kali. Untung nasib si burung, nyawa masih menemani usia, tetapi sayang ada yang menemui ajalnya..
.
Pernahkah anda belajar untuk memperolok-olokkan si gagah helang. Ya, gaya pemburu bersenapang yang ayah ajarkan berhasil untuk menakutkan helang-helang yang berlegar-legar di bawah awanan (lazimnya untuk memangsa anak-anak ayam kami). Hasilnya, helang terpedaya dengan batang kayu mop kami...hehe. Kelmarin, seekor burung pungguk tersalah masuk ke rumah ini. Suka saya melihat si burung hantu terperangkap di dalam rumah subuh subuh hari. (sementelah pintu itu saya buka dan memadamkan lampu kesemuanya, tak sangka pula ada yang berminat terbang ke dalamnya =p). Tetapi nampaknya saya juga keliru, pungguk dan burung hantu samakah?? Hrmm..mungkin ada benarnya wajah si pungguk rindukan bulan itu bermata bulat. Tapi hari itu saya geli hati kerana lakaran minda saya selama ini meletakkan telinga kucing sebagai telinganya...hhee.. (iklan manakah yang bertanggungjawab dalam hal ini?? haihh.)
.
Dan ini kisah setahun yang lalu..tika saya menjaga rumah ini berseorangan..lalu tiba-tiba muncul si lidi panjang melingkar di kerusi ruang tamu. MasyaAllah, aktifnya bergerak ke sana sini..mungkin berasa terancam bila tahu saya sedang melihatnya. Diri ini pula yang tak senang hati. Mahu diminta tolong siapa tengah-tengah hari begini...haih. Saya tahu dia masuk melalui tingkap itu..apakah berminat sungguh dengan kerusi ala jati itu...huhu. Pendek cerita, proses persiapan saya untuk ke majlis seorang teman tergendala setengah jam, gara-gara khuatir ular itu datang pula menjenguk bilik saya..hhi. Mujur, setelah saya siap, reptilia itu sudah hilang dari pandangan mata. Mungkin telah menyusur keluar semula..syukur pada Allah.
.
Juga saya suka bila ribut melanda bukit ini. Daun-daun kering akan berterbangan ke sarata sudut verandah. Angin damai yang mengocakkan rasa teruja. Pernah dengar deruan 'angin hantu' yang menyeru-nyeru di malam hari??? Sampaikan terkadang saya tak sanggup nak siapkan karangan sekolah, dan esok ke sekolah dengan helah konon-kononnya tersilap buku..(Haih, makin dekat nak UPSR makin berani nakal...ish2..-perbuatan ini tidak baik ditiru yea..) hurm.
.
Saya tak boleh bercerita banyak-banyak. Hari ini masa saya semua hilang dalam keterujaan saya untuk mengembara ke sana. Ya kawan-kawan, malam ini bas akan bertolak ke Kelantan..doakan perjalanan ini diselamatkan Tuhan. Sesungguhnya diri ini juga tidak sabar untuk menjejak Pantai Cahaya Bulan! (^^)
.
.
Akhir-akhir ini saya lebih menghargai bunyi-
bunyian itu. Dan irama itu juga
yang memujuk hati ini
untuk ke situ...
terima kasih Tuhan =)

Thursday, July 9, 2009

Bercerita Tentang Hati

.
.
Satu hati yang mudah berbolak-balik
Hati yang baik,
Hati yang jahat,
Hati yang separa baik
Satu hati yang terkadang begitu mengecewakan
Bahkan, hati itu mudah pula merasa kecewa
Kerana leka dan lalai dalam tindakannya
.

Hati ouh..
Betapa mudah menyakitkan
Jua terasa sakit kerana menyakiti
Kerna fitrahnya hati itu suci
Dan suka kepada kesucian
.

Dunia yang punya banyak hati
Hati yang cinta dan dicintai
Hati yang benci dan dibenci
Sukarnya nak mengurus hati
Sukarnya nak mengurus hati-hati
.

.
Penatnya berhati-hati di atas jalan ini
.

Pernahkah kamu merasa putus asa dengan dunia? Merasa tidak mahu terus berjalan di atasnya.. Tapi kamu meneruskan jua kerana kamu tahu hakikatnya. Bahawa kamu takut untuk mati. Takut akan hukuman kesalahan diri. Sememangnya kubur itu satu ikon yang menakutkan. Sering juga kamu guna untuk menakut-nakutkan. Sungguh alam kubur itu pasti. Alam barzakh. Alam penantian hari Kebangkitan. Hari Pengadilan. Tapi masih, al-wahn itu menebal dalam diri. Cintakan dunia dan takutkan mati...
.
Hey, kamu itu aku!
.

Ku penat untuk terus menyakiti..
.

Tuesday, July 7, 2009

Mati itu bagaimana?

.
Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut". Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".
.
Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu :"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh". Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.
.
Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi balu. Maka janganlahkamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya". Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir. Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan:
.
"Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku".
.
"Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku".
.
"Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".
.
Ada satu riwayat daripada Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing- masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk daripada anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku".
.
Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.
.
Baginda Rasullullah S.A.W berkata:
.
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."
.
.
Tak kenal maka tak cinta
Kenali mati, cintai mati
.

Secebis Renungan...

Islamik Testimonial