myspace codes
Click here for Myspace glitter graphics and Myspace layouts
-->

Wednesday, August 5, 2009

Kuntuman 'nisfu'

1015am - cerah pagi bertukar gelap bak 715 pagi.. Angin mula berpuput rancak seiring gerimis pagi. Meniupkan daun-daun yang kian beraksi. Subhanallah... dah lama tak mengalami keadaan sebegini.

Ya Allah, gelapnya pagi ini. .

Yup, kegelapan yang mengujakan.

Malam semalam, purnama jingga itu menjengah dada langit. Bersinar kesunyian tanpa ditemani si kejora. Ke mana agaknya bintang-bintang menghias langit biruMu tika aku berjaulah ke Kelantan tempoh hari? Kurindukan kerlipan-kerlipan yang tidak terbilang itu.. Sungguh, kurindukan suatu rasa yang sudah lama ku kehilangan..

Pupusan bayu bertiup lagi. Ada suara bising-bising di daerah sana. Tidak, aku tidak ambil tahu. Cukup krisis itu dibawa pergi bersama angin lalu. Lihat, lihat kuntuman itu. Kuntuman kelopak-kelopak comel putih yang dijanjikan ibu akan mekar pagi ini. Aku namakannya 'kuntuman nisfu', kerana putik-putik bunga itu hanya mengembang kala bulan menjadi purnama. Seperti hari ini. Ya, anak hutan yang sungguh aneh.

Tumbuhan itu kata ibu hidup liar di hutan. Lalu diambil untuk dipelihara di halaman. Ouh, fakta-fakta bunga yang menarik, bukan? Indahnya ciptaan Tuhan.. s u b h a n a l l a h.

Sedar tak sedar, rupanya mekarnya ia kali ini menandakan nisfu Syaaban. Tak sangka, dunia sudah menghampiri Ramadhan. Lembaran baru telahpun dibuka, ya Allah...ampunkanlah..

Tahukah apakah itu?

Nisfu dlm bahasa arab beerti setengah. Nisfu Syaaban beerti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Iman Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dah sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dalam sujudnya, "Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."

Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. "Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesunguhnya Allah Azzawajjal telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yang dengki."

Hari nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib)


Terasa aku kerugian. Lembaran yang penuh kotor itu belum pun sempat kumenyucikannya. Kini datang lembaran baru, yang bakal kita mencoraknya.. Y a Allah..ampunkanlah.

Sungguh hambaMu sering mengakui cintanya, tapi dia lupa yang dihadiahkannya adalah cinta bernoda. Ampunkanlah kami ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran sebagai kebenaran, dan kurniakanlah ketaatan untuk kami mengikutinya.. Perkenankanlah.


Tayangan eksklusif purnama : si kuntum nisfu ibu (^^)


merindukan angin kencang petang
teringin bermain layang-layang

Sunday, July 19, 2009

Lelong ini istimewa..

.
Bismillahi wakafa. Salam sejahtera buat teman-teman seperjuangan. Semoga diberkati Allah senantiasa, moga hidupmu dalam redhaNya.. Lama tidak mencoret di sini. Ingin sekali bertanya khabar semua.. Moga yang sihat kekal bertenaga, dan yang sakit sabar dan redha dengan ujianNya.
.
Putaran bumi yang sementara, hidup yang penuh warna suram dan ceria. Gurauan, sengketa, moga ditabiri dengan kemaafan sesama kita. Semoga Allah merahmati kalian semua..
.
Hari ini saya ingin bercerita, tentang kenapa saya suka akan Lelong saya. =) [tajuk yang seakan soalan karangan mudah untuk kanak-kanak Darjah 2..hehe]
.
Okay kawan-kawan, saya suka kiranya anda tahu betapa saya menyukai rumah saya. Pagi-pagi nian nan indah bertemankan kicau-kicauan burung-burungan. Melihat gelagat si pelepah kuning melompat-lompat lincah, dan si kelicap madu bertenggek di sana sini menghisap madu bunga. Seketika berteman bunyi belatuk dan terkukur di senja hari, memecah gemersik sunyi sawit dan getah ini, membuatkan diri berasa di rimba asli. Saya mencintai 'hutan' ini.. meskipun ia menjanjikan gigitan nyamuk-nyamuk betina, bahkan si 'nyamuk banduan penjara'.Saya suka melihat si gembala-gembala kerbau bersayap yang menjalankan tugasnya menenggek di atas 'jamus-jamus'.. meskipun bau lubuk kubang-kubang mereka pasti menusuk deria-deria nosa. Dan bila si kurus bangau menemani mereka, terasa tak perlu melihat kamus bergambar lagi. Horey! Saya punya zoo asli..
.
Ya, saya mengenal burung-burung itu di sini, melalui alam realiti, bukan sekadar tampalan di Kamus Bergambar terbitan Fajar Bakti. Itulah keistimewaan kediaman ini..
.
Terlalu banyak kisah reptilia di sini. Baik darat mahupun yang di udara, setiap satunya akan kekal menjadi ingatan saya.. Tragis si burung murai yang penuh yakin terbang menerjah kaca gelap tingkap, jatuh terkulai di atas lantai...(anda boleh bayangkan sakitnya tak terkata..uhh). Episod ini pernah berulang dua, tiga kali. Untung nasib si burung, nyawa masih menemani usia, tetapi sayang ada yang menemui ajalnya..
.
Pernahkah anda belajar untuk memperolok-olokkan si gagah helang. Ya, gaya pemburu bersenapang yang ayah ajarkan berhasil untuk menakutkan helang-helang yang berlegar-legar di bawah awanan (lazimnya untuk memangsa anak-anak ayam kami). Hasilnya, helang terpedaya dengan batang kayu mop kami...hehe. Kelmarin, seekor burung pungguk tersalah masuk ke rumah ini. Suka saya melihat si burung hantu terperangkap di dalam rumah subuh subuh hari. (sementelah pintu itu saya buka dan memadamkan lampu kesemuanya, tak sangka pula ada yang berminat terbang ke dalamnya =p). Tetapi nampaknya saya juga keliru, pungguk dan burung hantu samakah?? Hrmm..mungkin ada benarnya wajah si pungguk rindukan bulan itu bermata bulat. Tapi hari itu saya geli hati kerana lakaran minda saya selama ini meletakkan telinga kucing sebagai telinganya...hhee.. (iklan manakah yang bertanggungjawab dalam hal ini?? haihh.)
.
Dan ini kisah setahun yang lalu..tika saya menjaga rumah ini berseorangan..lalu tiba-tiba muncul si lidi panjang melingkar di kerusi ruang tamu. MasyaAllah, aktifnya bergerak ke sana sini..mungkin berasa terancam bila tahu saya sedang melihatnya. Diri ini pula yang tak senang hati. Mahu diminta tolong siapa tengah-tengah hari begini...haih. Saya tahu dia masuk melalui tingkap itu..apakah berminat sungguh dengan kerusi ala jati itu...huhu. Pendek cerita, proses persiapan saya untuk ke majlis seorang teman tergendala setengah jam, gara-gara khuatir ular itu datang pula menjenguk bilik saya..hhi. Mujur, setelah saya siap, reptilia itu sudah hilang dari pandangan mata. Mungkin telah menyusur keluar semula..syukur pada Allah.
.
Juga saya suka bila ribut melanda bukit ini. Daun-daun kering akan berterbangan ke sarata sudut verandah. Angin damai yang mengocakkan rasa teruja. Pernah dengar deruan 'angin hantu' yang menyeru-nyeru di malam hari??? Sampaikan terkadang saya tak sanggup nak siapkan karangan sekolah, dan esok ke sekolah dengan helah konon-kononnya tersilap buku..(Haih, makin dekat nak UPSR makin berani nakal...ish2..-perbuatan ini tidak baik ditiru yea..) hurm.
.
Saya tak boleh bercerita banyak-banyak. Hari ini masa saya semua hilang dalam keterujaan saya untuk mengembara ke sana. Ya kawan-kawan, malam ini bas akan bertolak ke Kelantan..doakan perjalanan ini diselamatkan Tuhan. Sesungguhnya diri ini juga tidak sabar untuk menjejak Pantai Cahaya Bulan! (^^)
.
.
Akhir-akhir ini saya lebih menghargai bunyi-
bunyian itu. Dan irama itu juga
yang memujuk hati ini
untuk ke situ...
terima kasih Tuhan =)

Thursday, July 9, 2009

Bercerita Tentang Hati

.
.
Satu hati yang mudah berbolak-balik
Hati yang baik,
Hati yang jahat,
Hati yang separa baik
Satu hati yang terkadang begitu mengecewakan
Bahkan, hati itu mudah pula merasa kecewa
Kerana leka dan lalai dalam tindakannya
.

Hati ouh..
Betapa mudah menyakitkan
Jua terasa sakit kerana menyakiti
Kerna fitrahnya hati itu suci
Dan suka kepada kesucian
.

Dunia yang punya banyak hati
Hati yang cinta dan dicintai
Hati yang benci dan dibenci
Sukarnya nak mengurus hati
Sukarnya nak mengurus hati-hati
.

.
Penatnya berhati-hati di atas jalan ini
.

Pernahkah kamu merasa putus asa dengan dunia? Merasa tidak mahu terus berjalan di atasnya.. Tapi kamu meneruskan jua kerana kamu tahu hakikatnya. Bahawa kamu takut untuk mati. Takut akan hukuman kesalahan diri. Sememangnya kubur itu satu ikon yang menakutkan. Sering juga kamu guna untuk menakut-nakutkan. Sungguh alam kubur itu pasti. Alam barzakh. Alam penantian hari Kebangkitan. Hari Pengadilan. Tapi masih, al-wahn itu menebal dalam diri. Cintakan dunia dan takutkan mati...
.
Hey, kamu itu aku!
.

Ku penat untuk terus menyakiti..
.

Tuesday, July 7, 2009

Mati itu bagaimana?

.
Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut". Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".
.
Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu :"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh". Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.
.
Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi balu. Maka janganlahkamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya". Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir. Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan:
.
"Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku".
.
"Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku".
.
"Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".
.
Ada satu riwayat daripada Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing- masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk daripada anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku".
.
Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.
.
Baginda Rasullullah S.A.W berkata:
.
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."
.
.
Tak kenal maka tak cinta
Kenali mati, cintai mati
.

Tuesday, June 30, 2009

Hormatkan YB atau azan? [catatan 22/6]

Alhamdulillah, perjalanan yang panjang itu telah mengizinkan aku merasai bahang Khatulistiwa, yang membuahkan durian dan segala jenis buah-buahan yang sudi memunculkan diri di kebun ayah.
.
Kepulangan yang disambut oleh si gonggok yang membabai di langsir pintu bilik. Koloni ini masih tidak pupus dari singgahsana kami rupa-rupanya. Hari-hari ayah mengaut berkilo-kilo ulat gonggok yang merayap di serata rumah, tetapi spesies ini nampaknya masih bertahan dengan hebatnya (Apakah rahsianya???). Hampir setahun saya pergi, tapi nampaknya hari ini rumah ini masih dikongsi bersama golongan yang banyak kaki itu. Di lantai, di perabot, bahkan di bumbung! Saya tidak kisah sangat, tapi bilamana tengah gelap malam anda menyentuh sesuatu yang melingkar di lengan anda, reaksi apakah lagi yang patut berlaku. Saya bingkas bangun dan membuka lampu bilik. Sah! Si gonggok itu pandai pula lari dan menyembunyikan diri di bawah katil. Huhh.. 120 heart beats. Terasa lebih selamat tidur bersama earphone di telinga..
.
Bicara nenek tempoh hari pada saya agak melucukan. 'Jembalang tanah', saya bukan menidakkan terus, tak mustahil makhluk-makhluk Tuhan yang di alam lagi satu membuat onar di rumah ini. Tapi, dendam apakah yang masih belum terlerai antara kami.. Saya tidak pernah mahu menggilis 'kereta api' itu (tapi ibu selalu.. =(. Cuma sekali itu saya terpecahkan kamu..hhuh. Maaf sangat, tak disengajakan. Hakikatnya proses menggilis itu lebih ngeri buat saya. Huhhh. Saya lebih rela mematikan kalian dengan cara lain, setidak-tidaknya dalam keadaan anggota yang masih sempurna! (nyamuk dikecualikan)
.
Berhari-hari di rumah, saya perhatikan banyak juga jentik-jentik yang diternak secara langsung dalam rumah ini. 'Laporan' sudah dibuat, tapi nampaknya 'pegawai-pegawai atasan' masih endah tidak endah. Mahu tunggu kes denggi kah?? Hurm.. Kewujudan mereka yang tidak patut telah melupakan saya pada sesuatu yang patut. Ayam? Hari ke-7 bertapa di dalam Lelong's Height ini, baru saya perasan akan kepupusan spesies ayam di rumah kami. Itupun setelah dikhabarkan emak. Dari anak-anak hingga ke bapa-bapa ayam yang pernah menunjuk bulu pelepahnya di rumah ini, semuanya telah dibaham encik musang satu persatu, sehingga tidak wujud seekor pun. Padanlah saya terasa simen-simen kaki lima dan verandah rumah seakan aman dari sesuatu -tiada lagi tahi-tahi ayam yang menempel di situ.
.
Amankah? Aman pada mata, tidak pada hakikatnya. Hujahnya, ancaman encik musang yang saban hari menunjuk belang. Bahkan, saban malam, pintu besi verandah rumah juga terpaksa di tutup, siap bersangkutkan rantaian besi. Bila ditanyakan untuk apakah itu, kata emak, mengelak encik ba alif ba ya dari menjenguk ruang rumah. Hah?? Begitu sekali ziarahnya?! Seakan kami kaum kerabat terdekatnya pula. Alahai...Lelongku yang semakin hilang damainya.
.
Maaf, penceritaan masih tidak menyentuh tajuk di atas. Bukan apa, kedamaian bagi saya tidak berhenti di pagar rumah. Desa ini dan penghuninya yang kucinta, kupohonkan keamanan untuk mereka jua. Aman dunia, jua di akhirat sana..
.
Semalam, saya menghadirkan diri di padang sekolah rendah saya. Hari Sukaneka dan Keluarga daerah terpencil ini, suatu keramaian yang patut dibanggakan. Ukhwah ummah harus disemai tidak kira usia, dari kecil hingga tua. Saya gembira untuk itu (walau tidak untuk sesetengah aktivitinya). Sayangnya, ada satu dua perkara yang lebih utama (bagi saya) yang memberi didikan langsung yang tidak baik.
.
Sampah. Kelihatannya cawan-cawan polisterina terdampar di sana sini, baik di tebing jalan, mahupun di bawah khemah-khemah. Apakah pihak JKKK terlupa memasukkan plastik sampah ke dalam senarai perkakas yang perlu ada pada keramaian itu? Hasilnya, adik-adik kecil saya yang masih rebung untuk dilentur sewenang-wenangnya mencampak bekas minuman percuma mereka. Ingin sahaja hati ini menegur tingkah yang mencacatkan pandangan mata itu. Hendak ditunjukkan tempat membuang yang betul, malangnya sejauh mata mencari -TIADA. Bagi warga yang lebih tua, saya tidak tahu ke mana mereka mencampaknya. Mungkinkah setaraf anak-anak kecil itu juga(?). Kebersihan itu kan sebahagian daripada iman. Sewajarnya yang lebih tua memandu anak-anak ke arahnya.
.
Sesuatu yang lebih menyayatkan hati yang mendengarnya. Kebetulan diri ini masih sudi berpanas hujan (sememangnya panas dan hujan silih berganti) sambil menanti ucapan YB dan pengerusi bersilih ganti. Jam di tangan sudah melangkaui nombor 1. Lincah pengerusi menjalankan sesi cabutan bertuah, sayup-sayup kedengaran laungan azan dari masjid yang tidak lebih 1 kilometer dari padang sekolah. Makcik-makcik di sekitar saya sudah berbisik tegur. (Bisik tegur yang berupa laungan) Mungkinlah encik pengerusi terlalu jauh untuk mendengarnya. Secara tiba-tiba mikrofon bertukar tangan. Kedengaran butir-butir YB berbicara seminit dua. Peralihan suara-suara itu membolehkan azan didengar dengan jelasnya pada semua penduduk peribumi desa ini. Dan seketika kemudian..kedengaran semula saudara pengerusi, mengulang statement encik YB, sangka saya YB berhasrat menangguhkan majlis, tetapi rupa-rupanya beliau terpaksa pulang segera, minit mesyuarat pukul 2. Kedengaran lagi suara pengerusi lantang bergema..
.
"..pihak majlis ingin memberi laluan.."
.
Alhamdulillah, lapang saya mendengarnya, walaupun azan sudah setengah perjalanan. Namun, kelapangan itu tidak lama. Sesaat bicara disambung, memberi laluan kepada YB berangkat pulang. Huhh.. Apakah YB atau azan, masyarakat Muslim hari ini sudah keliru mana satu yang patut diutamakan?
.
Majlis diteruskan, tanpa menghiraukan azan. Mungkinkah tok imam yang menjadi hero menimbang bola sepak raga tadi telah terlebih dahulu pulang.. Bagaimana ummah akan bangkit jika kita melupakan tiang..
.
.
Diri ini berkata bukan tanda baiknya
Sekadar hadiah perjalanan untuk renungan bersama

Monday, June 15, 2009

Destinasi Akhir..


Flight 655pm kami bertemu landasannya di Girona Airport pukul 720 petang diiringi tepukan gemuruh para penumpang. Rasa mahu gelak juga melihat penumpang yang begitu meraikan keberjayaan pilot dan seluruh kakitangan Ryan Air. ‘kalau macam ni, aku pun nak jadi pramugari lah’ ahhaha. Ahli jelajah keempat nampak bersahaja, kerana bukan pertama kali baginya menyaksikan situasi sebegitu. Tapi bagi kami, ini yang pertama!

Rupanya Girona Airport terletak jauh dari Barcelona. Kami terpaksa membeli tiket bas (return) dengan harga 21euro. Perjalanan yang panjang (iaitu dalam lingkungan 1jam) itu terasa seperti sebuah perjalanan di lebuh raya Malaysia. Baik pokok, jalan raya, bangunan-bangunannya…benar-benar terasa inilah Kuala Lumpur yang kedua. Tanih di bumi Barcelona ini juga bertutup dengan rumput, tiada lagi ‘savannah area’. Haih, hati sudah merindukan tanah sendiri. Walaupun asalku bukanlah di ibu Negara, tapi melihatkan gemerlap bandar Barcelona yang sangat besar, neon-neon yang terselit di sana sini, kami memikir nasib bagaimanakah kami mahu mencari hostel kami di gelap malam begini, bahkan di sudut manakah hostel kami dari stesen bas nanti?!

Seperti yang dijangka. Jam 855 di Stesen bas Barcelona menjanjikan sebuat kaunter informasi yang ditutup (bahkan di airport lagi). Kami terpaksa mengambil teksi dengan harapan janganlah hostel kami terletak jauh dari city. Risau juga duit poket nak bayar harga teksi. Huhu. Alhamdulillah, hostel kami dijumpai dengan kadar tambang yang tidaklah mahal. Lega. Dan yang paling gembira, pintu bilik hostel Cuma beberapa tapak dari reception counter!

Bilik paling bawah dan pertama dari muka pintu hostel.

Saya tidak mahu bercerita tentang Barcelona. Cukuplah gambar-gambar di bawah mengungkapkannya. Yang pasti hajat hati nak menjejak pepasir di pantai Barcelona hanya berakhir dengan suatu lontaran mata yang lesu. 50meter dari pantai, tak sampai hati nak berganjak lebih dekat kerana kehadiran begitu banyak makhluk yang sedang menyeksakan diri di pepasir sana. Huh. Apakah perasaan beramai-ramai dalam keadaan begitu…isk.

Searching for access into Estadio Barcelona...penat kena pusing baru jumpa =(

My first cable car (to Montjuic)


Menapak ke Port Vell

Sagrada Familia

4JUN 930pm –kami meninggalkan bumi Spain bertemankan sunset yang sungguh indah sepertimana kami tiba di Barcelona 2hari yang lalu. Meninggalkan bumi masyarakat yang rajin membaca buku. (walau di mana, pasti kelihatan yang memegang buku, sekalipun dalam metro). Meninggalkan kenangan beratur di escalator hanya di sebelah kanan jika mahu membatukan diri. Bersesuaian dengan pemandunya yang berada di sebelah kiri. Jadi ikut kanan melainkan jika hendak memotong (^^).

Gambar termahal kami! -selaku gambar terakhir kami di sini

Terbang. Terbang kembali ke Dublin bersambutkan mega merah yang masih tidak hilang meskipun jam sudah mencecah 11pm.. (kini benar-benar nampak kenapa kami dibolehkan jamak maghrib dan Isya’).

Adios España!

 

2115 bakal menuju London.

Hola Malaysia =)

Kembara A L - H A M R A

Pagi terawal yang pernah kami redahi sepanjang jelajah ini. Sekalian ahli jelajah tidak tidur selepas Subuh itu. Jam 0610 lagi, semua sudah bersedia untuk check out hostel. Menarik beg troli memecah sunyi hening pagi, kami mendapatkan ‘trem Subuh’. Nampaknya kenyataan dari Turistica Informacion semalam bahawa trem itu mula beroperasi jam 0700 tidak tepat sama sekali. Termangu-mangulah kami menanti bas kami yang akan bertolak ke Granada tepat jam 8pagi.

Jam 1130 – bas tiba di Granada. Alhamdulillah pencarian hostel al-Cazaba Pension tidak begitu sukar (seperti Sevilla). Setibanya kami di hostel, pakcik yang menjaga hostel itu sangat peramah dan fasih pula berbahasa Inggeris. Beliau sangat prihatin dengan perancangan kami di bandar itu. Sampaikan kami disuruh segera menyemak tiket masuk al-Hamra, sedangkan kunci bilik pun tak diberi lagi. Kebetulan pula kami dapati booking kami rupa-rupanya bermasalah. Kad kredit juga tak terolak langsung. Resah juga, kami cuma ada sehari di Granada, petang esok kami bakal berkejar ke airport untuk ke Barcelona. Kalau perancangan kami tergendala, mana mungkin kami sempat untuk meneroka al-Hambra yang perlukan masa yang boleh tahan lamanya. Maka, atas nasihat dan harapan yang beliau berikan juga, kami segera masuk bilik dan terus meninggalkan barang-barang lalu bergegas mengambil bas kecil ke puncak al-Hamra. 

Syukur Alhamdulillah, kami sempat membeli tiket masuk al-Hamra yang bermula jam 2petang. Nampaknya hari ini hari paling tak rehat kami (^^). Meneroka al-Hamra yang sungguh luas! 3jam mungkin kami berkelana di dalamnya sehinggalah menemui pintu ‘salida’ (exit) yang sebenar.

Kami pulang semula ke hostel dengan hanya berjalan kaki, menuruni bukit merentasi kota Granada berpandukan peta di tangan. Mujur, al-Hamra tidaklah sejauh mana. Hasilnya, kami pulang ke hostel dengan souvenirs! Terserempak pula dengan pakcik yang baik tadi. Dia menyapa mesra kami.

“Do you know it’s not allowed to cook in the hostel. Moreover it’s dangerous to leave the electricity tool on while you go out..”

Adehhh..kantoi pula kami masak nasi. Kami hanya menganggukkan kepala sambil meminta maaf. Lagak tidak akan berbuat lagi. Tak sangka pula pakcik ni akan ‘menceroboh’ masuk bilik kami tika kami keluar tadi. Haih. Rasa tak puas hati dibalut cepat-cepat dengan sangka baik. Beliau sangat concern dengan customernya, mungkin sebab itu beliau masuk untuk lihat kalau-kalau ada apa-apa yang tidak cukup. Kelakar rasanya, inilah pertama kali kami ditegur tak boleh masak nasi.. Kelihatan plug rice cooker sudah bercabut. Mujur nasi di dalamnya sudah masak. Apa-apalah pakcik… Selesai bersolat, kami memasak sardine pula. Walaupun remote penghawa dingin tak dijumpai, tiada siapa mahu bertanya pakcik tadi. Bimbang nanti dia masuk bilik dan terbau sardin pula!

Pagi kedua di Granada, kami bersiap-siap, check out dan meninggalkan luggage di bawah jagaan mereka. Mengikut perancangan yang telah diubahsuai malam tadi, hari ini kami akan meninjau penempatan al-Baycine yang terletak di sebelah al-Hamra. Ahli-ahli jelajah sudah tidak sanggup menempuh Garden al-Hambra (yang hanya boleh dimasuki dengan tiket yang berlainan) kerana petang semalam sahaja jenuh sudah kami meneroka taman-tamannya atas tiket ‘General Life’. Kami memanjat bukit al-Baycine dengan bas, melihat apa yang ada dan seperti semalam mencari jalan pulang dengan kaki…



al Hamra, singgahsanamu pernah bersinar...



berlatarkan al-Baycine dari al-Hambra


Secebis Renungan...

Islamik Testimonial