myspace codes
Click here for Myspace glitter graphics and Myspace layouts
-->

Saturday, November 15, 2008

Syukran Ummi wa Abi

"Dah jauh begini, terasa sepi pula."

Baru kini aku tahu rasanya melangkah ke alam universiti, yang sejak dulu kunanti-nantikan. Dulu tak sabar merasa. Kini baru tahu tinggi rendahnya. Sepanjang dua purnama, beberapa pemerhatian dapat aku simpulkan.

Kehidupan universiti terutama di rantau orang ini sama seolah-olah seperti kembali ke alam sekolah rendah semula. Pagi-pagi bangun. Sibuk menyiapkan diri. Kemudian bergegas menuju bangunan 'sekolah'. Kalau berkesempatan, seteguk susu akan mengalasi perut. Jamah makanan seadanya. Berlari mengejar masa. Ops, tak lupa membawa bekal untuk dimakan waktu rehat nanti. Dan nantinya dalam 'kelas' tak sabar menunggu saat pulang ke rumah. Tiba waktunya, 'hepi' tidak terkata.

Tapi, tetap tak sama. Kalau dulu, emak yang siapkan bekal. Tapi kali ini, aku harus sediakan sendiri semuanya. Kalau dulu, makanan yang dibawa sedap-sedap belaka. Paling kurang mi goreng, nasi goreng, kuih muih. Ahh, apa jua pun yang emak buat pastinya sedap! Air pula semestinya yang berwarna. Tapi, hari ini. Mungkin sekadar roti yang disapu planta. Air bujang mengisi poket beg galas. Bukan tidak mahu membuat. Bukan tidak tahu. Tapi kekangan masa mengehadkan agenda. Nanti pulang, harus memanaskan dapur lagi. Maka, rasanya cukuplah sehari sekali. Tak mengapalah, perutku pasti memahami. Andai tiba aura kerajinan yang keterlebihan, barulah merasa makanan yang berat-berat. Ahh..rindunya saat dulu-dulu.

Teringat botol air yang beraneka rupa. "Ribena", "Milo", "Vico", "Ovaltine", "Sunquick".
Produk yang diperoleh percuma dengan setiap pembelian di Malaysia. Zaman kanak-kanak yang melucukan. 'Perebutan kuasa' untuk memilikinya pula tidak kurang hebatnya. Kalau tidak kerana kebijaksanaan ibu bapa untuk menanganinya, pasti 'perang dunia' meletus berpanjangan.

Kenangan zaman kecil-kecil terlalu banyak jika mahu diselak satu persatu. Bagaimanalah agaknya ibu dan bapa jenuh melayan kerenah kita yea. Kesabaran yang tinggi- pastinya rahsia utama.

Sedar tak sedar, terlalu banyak jasa yang telah dicurahkan oleh insan yang bertanggungjawab melahirkan kita ke dunia ini. Dari sekecil-kecil perkara, hingga sebesar-besarnya. Sentiasa dalam pengetahuan mereka. Tak perlu diterang lebih lanjut di sini, kerana setiap dari kita sewajarnya tahu. Cuma kita yang begitu angkuh untuk menghadiahkan walau
sebaris "TERIMA KASIH".

Terkadang bukan sebab angkuh, bukan dek ego. Tapi, budaya keluarga yang menjadikan lidah kelu untuk melafazkannya. Diri ini pun tidak kurang kelemahannya.Sebab itu, sangat berhajat agar Tuhan menyampaikan rasa sayangku kepada kedua-dua insan yang jauh di mata. Harap sekali aku akan dapat berbakti kepada kalian, walau ku tahu pasti tidak dapat membalasi segalanya. Maafkan diri ini kerana sering melukakan, terkadang menyakitkan. Mohon ampun andai perlakuan terkadang melampaui batasan.

Terima kasih buat ayahanda dan ibunda yang telah membesarkan aku hingga hari ini. Moga ALLAH sentiasa memelihara kalian dan meneduhi dengan limpah rahmat dan kasihNYA. Moga kita semua dimatikan dalam keadaan beriman...terpilih untuk manjadi calon-calon ahli syurga...dengan izin ALLAH

zwani.com myspace graphic comments

Tuhanku Maha Penyayang

Malulah kamu. Kate mahu jadi doktor yang beriman?! Isyh… Aku kini seperti kehilangan dalam kekalutan diri terutama pada keadaan-kedaan kini. Keadaan kini?? Apekah keadaan kini… dalam dilema exam Final buat semester pertama dalam bidang perubatan. Terasa begitu pantas benar masa berlalu. Bagai semalam baru menjejakkan kaki ini di sini.


Huh~ kenapa aku seperti hilang punca, macam tak mengetahui ilmu apa yang sedang dikejar. Apakah aku keciciran? Apakah kehadiran ku di dewan kuliah sekadar lakonan? Apakah aku kehilangan selama ini… Aku tak berharap semester ini segera berakhir. Mungkin kerana aku belum bersedia. Ya Allah, kembalikan aku pada trek yang sebenar. Jangan Kau biarkan aku hanyut dengan duniaku. Sedarkanlah aku ya Rahim.


Hmm, benar masa kini begitu pantas berlari. Temanku sering mengingatkan itu. Umur bertambah, usia berkurang. Perbanyakkan ibadah. Aku mengiyakan. Ya, betapapun manusia sering mengiyakan, sejauh mana keikhlasan kita mengiyakannya. Kalau benar apa yang lahir adalah bukti ketulusan, bagaimana pula aku bolah tewas lewat tadi. Sedang baru malam tadi hatiku berkobar mendengar siapa itu Said ibnu Kutub. Sedang malam tadi aku sibuk mengetahui peralihan garis graf Umat Muhammad. Jadi adakah ini hanyalah satu kepalsuan. Janji hati yang hakikatnya satu penipuan. Menipu diri sendiri. Ya, sungguh aku telah menzalimi diri ini. Ya Tuhan, ampunkanlah aku.


Aku gembira, melihat bulan pagi tempoh hari. Betapa cepatnya makhluk Allah yang satu itu menghilangkan diri. Terasa seperti, apakah ia tak sudi aku menatapnya lagi. Inilah kebahagiaan yang masih Tuhan kurniakan walaupun air mata ini semakin hari semakin beku untuk dialirkan. Sungguhpun hati ini seringnya menangis kekeringan. Tapi Dia masih begitu pemurah denganku. Tuhanku Yang Maha Pemurah. Tuhanku Yang Maha Penyayang. Dia memberiku peluang kedua untuk menyertai Quranic Circle walau aku yang membuat keputusan untuk tidak datang. Tuhanku Maha Penyayang.


Alhamdulillah. Malam tadi menjadikan aku kini tahu apa ertinya dilindungi alQuran, apa makna keberkatan yang memberkati usia. Apa maknanya kebahagiaan abadi yang hanya menjadi milik insan yang mencari. Ya, yang mencari. Mencari bermakna suatu pergerakan. Ya, memerlukan gerakan. Manusia yang bergerak. Itu yang aku mahu jadi kini. Walau diri kini hanyalah menggalas tanggungjawab menimba pelajaran. Tapi, aku masih keraguan akan kemampuan. Kenapa? Jangan terlalu memikirkan sedang kamu tetap tak beranjak dari titik permulaan. Kamu harus bergerak! Ya, ayuh! Siapa lagi mahu menjadi manusia penggerak, kalau bukan diriku sendiri. Perjalanan yang bakal ditempuh kelihatannya jauh. Hakikatnya kematian semakin mendekat.

Tapi aku? Cukupkah hanya dengan segenggam tabah?

Secebis Renungan...

Islamik Testimonial