myspace codes
Click here for Myspace glitter graphics and Myspace layouts
-->

Wednesday, February 24, 2010

Apa kabar Dunia??


Apa khabar dunia? Apa khabar aku yang masih di dunia.. . Apa khabar duniaku hari ini? Dunia..dunia..dunia..ouh. Buruuuknya nama 'dunia'. Bukan buruk. Tapi aku berperasaan 'buruk' tentangnya.. . aku bukan berniat. Bukan mahu berkhianat. Cuma mungkin kalimah 'akhirat' itu lebih sedap didengar telinga dibandingkan dunia. Entah, mungkin perasaan semata..

Dunia yang selalu memperdaya. Dunia yang selalu membuatku rasa seperti mahu menangis. DUNIA yang selalu melekakan. Dunia yang melarikan aku dari alam nyata. Dari fitrah kejadian manusia.. Dunia yang menjengkelkan. Dunia yang boleh mengheret ku masuk ke neraka! huhu :'( mungkin ciri-ciri ini membuatkan aku 'kadang-kadang' sedar lalu membenci dunia.

Kadang-kadang, aku terasa mahu bermohon kepada Tuhan, hilangkanlah aku dari dunia ini...

Supaya aku lepas dari segala. Tak perlu bertarung harta dan tenaga. Tak perlu bertarung nafsu dan bisik iblis laknatullah. Supaya lepas tanggungjawabku atas diri dan semua manusia. Tak perlu aku harungi segala yang ada di atas dunia. Ya Allah, betapa aku ingin Engkau keluarkan aku dari dunia ini.. T.T

Tapi, Engkau tahu, aku tak layak, malah tak berhak pun untuk meminta begitu.

Siapa aku, hendak mengubah sesuatu yang telah Dia tetapkan. Pandai sangatkah aku ni, hendak menukar-nukar perancangan ALLAH yang sudah semestinya Maha Terbaik? Apa yang aku tahu sangat tentang dunia, melainkan pengetahuan yang secebis itu juga adalah atas kehendak dan izin-Nya.

Bukan saja-saja Tuhan ciptakan aku, kau, dia, dan mereka.

Tak perlu berkali-kali orang beritahu, kamu itu khalifah, bertugas untuk memakmurkan bumi ALLAH. Tak perlu aku letakkan bukti, sebab kau sudah muak. Jemu mendengarnya. Semua yang dah ambil SPM tahu. hatta PMR (lambatnya dah 15tahun hidup baru nak diajar tujuan hidup dekat dunia..huhu).

Teruknya dunia kita yea, sampaikan manusia lupa apa tanggungjawab sebenarnya. Kita tidak menghayati al-Quran dengan sebenar-benarnya. Kita lupa, malah mungkin tak tahu, dan tidak ambil tahu ayat 51:56. Bahkan tugas kita pada ayat 2:30 pun masih belum terlaksana dengan sempurna. Kalau tidak masakan, dunia kita jadi seperti apa yang kita alami pada saat ini. Tak mungkin kita umat Islam sendiri telah hilang nilai keislamannya kalau benar-benar kita beriman dan yakin dengan ayat al-Quran yang ALLAH turunkan..Macam pedang yang hilang keperkasaannya untuk bertarung. Menyedihkan =(

(Ouh, betapa aku idam-idamkan setiap bayi islam yang baru lahir, semua diterapkan betul-betul tujuan Allah ciptakan kita..amin insyaAllah).

Dah, tak payah nak hafal ayat ni, kau bukan kisah. Kau bukan peduli. (eh, 'kau' tu aku). Memanglah. Kalau betul kau dan aku kisah, takkan kau senang-senang goyang kaki depan laptop lagi. Lepak-lepak baca berita dunia, 'Gaza diserang lagi', 'bayi dijumpai mati' bersepah-sepah, nak pergi 'usrah'(majlis-majlis ilmu agama) pun malas. Tengok 'member' keluar pakai pakaian tak sepatutnya pun tak ada kekuatan nak tegur. Belum kira yang lain, lain, dan lain ohh tak terkira banyaknya!

Senang sangatkah hati kita? Terasa dijamin syurga kah? (atau sebenarnya kita lupa ada 2 pilihan je dekat sana - syurga/neraka) Ouh, memang selalu aku lupa... Sedihnya. Aku sedih dengar ada antara kawan-kawan yang merasa sudah selamat dengan tanda nama 'Islam'. "nanti di akhirnya kita semua akan masuk syurga, kan." Mudahnya berkata. Aku sedih aku tak dapat nak cakap bahawa fikiran sebegitu salah. Lagi sedih sebab aku tahu kenapa aku tak mampu. Sebab aku sendiri masih terumbang-ambing, masih bermain tarik tali. Bahkan Allah dah pesan,

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا
"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai,"
[ali Imran : 103]

Eh, macam kenal. Ayat hafazan zaman menengah dulu.

Agak-agaknya apa perasaan kau dan aku tika ustaz suruh hafal ayat tu dulu-dulu. Kita tak kisah kan? Eh, tak..mungkin kau kisah. Cuma aku yang tak berperasaan. Disuruh hafal, hafallah. Ayat pun macam best. Aku pun suka. (tapi takde maknanya kalau penghayatan tiada) huhuh..

Semalam, hasil borak-borak usrah kami. Menjengah zaman-zaman sekolah belajar sejarah. Baru aku sedar, betapa berjayanya proses pembaratan terhadap kita semua. Betapa mereka berjaya memisahkan (mensekularkan) Islam dari kehidupan kita. Eh, aku nak tanya apa perasaan korang bila belajar bab kerajaaan Abasiyyah, Uthmaniyyah bla..bla..bla. Aku selalu tanya (dalam hati), kenapa aku kena belajar benda alah ni? banyak sangat fakta sejarah. ohh.. Hey, aku langsung takde rasa 'link' pun dengan kerajaan-kerajaan tu. Sedikitpun tak merasa gah dengan kegemilangan ISLAM suatu masa dahulu. Fakta tinggal sekadar fakta. Hah, tengok berjaya tak mereka?! Sampai aku disuruh belajar tamadun sendiri pun tak suka. Sampaikan perasaan anak-anak Islam sendiri langsung tak peduli pada sejarah umat sendiri. Belum kira lagi, maklumat yang ada dalam buku teks sejarah kita tu pula sangatlah terhad, belum jamin lagi akan ketepatan semua fakta yang ada. Teringat aku, satu ayat dalam video clip 'The Arrivals':

"They strive to own all the media, and information institutions, so that the information we receive, is what is decided for us to receive."

Huh. Macam kena ketuk-ketuk kepala ni bila baca. Memang. Kesedaran ini yang masih belum wujud dalam setiap minda umat kita. Sekarang lihat, betapa besar pengaruh media kepada kita. Itulah antara wadah-wadah mereka nak menghancurkan umat Islam. Menghanyutkan kita dari tali Allah yang sebenar. Liciknya kafirun itu sampaikan sekularisme terhadap Islam itu disuntik senyap-senyap melalui pendidikan kita. Kononnya perihal agama diserahkan kuasa kepada Raja/Sultan (maka kita fikir agama kita terselamat..huh). Tapi, itulah sebenarnya cara mereka memisahkan Islam kita dari kehidupan. Bidang agama diserah kepada sultan, bidang pentadbiran ditentukan mengikut telunjuk British. Wah! kita bebas beribadah. (maka kita fikir agama kita masih selamat. Masih dalam tangan kita). Sedangkan hakikatnya Islam kita bukan sekadar ibadah. Islam yang ALLAH turunkan untuk kita merangkumi segala inci aspek kehidupan. Islam juga punya panduan tertentu yang digariskan untuk sistem pemerintahan.. . bahkan dari sekecil-kecil perkara dalam kehidupan harian (tatatertib makan, masuk tandas, tidur dsbgnya). Lihat, betapa berjayanya mereka...hinggakan tubuh yang dipotong ini sendiri tidak sedar.

Sedarlah kita, ISLAM bukan sekadar beribadah kepada Allah. Kita tersilap apabila suatu masa dahulu kita menerima pelawaan 'baik' pihak penjajah kuffar. Maka terwujudlah umat Islam hari ini yang memandang hal-hal agama itu hanya berkaitan ibadah, rukun iman dan rukun islam (mengucap, solat, puasa, zakat, haji) yang lima itu semata. Mereka berfikir dengan lengkapnya rukun 5 dan rukun 6 ini, maka lengkaplah agama kita. Bahkan sebenarnya tidak, kerana banyak lagi perkara berkaitan Islam kita yang masih belum selesai..Muamalah kita. (ouh, saya kurang arif dengan ilmu-ilmu ini.. masih perlu banyak belajar lagi). Tapi, paling penting hak syahadah kita!

Sedarlah akan agenda mereka! Sedarlah, dan berubahlah. Tegakkan kembali Islam sebenar dalam diri kita (penat aku jerit-jerit kat telinga sendiri). Huhh..



Masih robotkah kita?

Meneruskan hidup seakan tiada tujuan.

Sekadar berhibur dan menanti saat kematian


Masih mahu kekal sebagai robotkah kita?

Menjalani rutin yang berulang-ulang

Tanpa matlamat yang benar


Apakah hidup kita bersusah sekadar untuk berjaya

Kemudian selepas berjaya berkerjaya

Berkerjaya untuk mengumpul harta

Dan harta itu kita gunakan semula

pada hal-hal demi memuaskan nafsu semata

Habis harta, bekerjalah kita semula

Bekerja, belanja, bekerja dan belanja

Sampai 'masa'nya bekalan sebenar T I A D A

Sedangkan kehidupan yang sebenar itulah di sana



berkata untuk mengetuk kepala
sendiri dan semua

Tuesday, February 16, 2010

Setahun berulang


B i s m i l l a h. Alhamdulillah.. . Segala puji bagi Allah yang telah mendatangkan musim bunga bagi kami. Alhamdulillah, terima kasih Allah yang telah memberi kekuatan untuk kaki ini terus melangkah.

Saat ini, kalau ditoleh ke luar tingkap yang baru sahaja dibuka tadi, terlihat fatamorgana. Mungkin hasil pertembungan udara panas bertiup dari 'blower' pemanas bilik ini dengan udara dingin segar di luar. Subhanallah...

Semalam, semalam dan semalam punya semalam, berkali-kali sudah hati berhajat untuk menulis di sini. Tapi penat, ngantuk, pertarungan dengan masa mematahkan segalanya. Namun, alhamdulillah, saat ini tangan ini sudi menekan kekunci.. hanya kerana hari ini terlalu indah. Terlalu indah untuk dibiarkan berlalu tanpa coretan kenangan.

Saya tenang dengan hari ini. Keluar sahaja dari Health Science Building kira-kira pkul 1 pm tadi, matahari menyambut dengan langit yang cerah dengan kebiruannya. Wahhh..

Dengar satu lagu? (sedap adik-adik kita ni menyanyi..=)


Ketenangan Alam

Keindahan dan ketenangan alam ini
Di waktu siang dan di waktu malam
Begitulah keindahan alam semesta
Yang telah diciptakan ALLAH Yang Maha Esa

Lihatlah langit
yang membiru dan tenang
Burung berterbangan di angkasa raya
Matahari menyinari seluruh alam
Yang diaturkan ALLAH Yang Maha Kuasa

Tersergam indah
bukit dan gunung yang tinggi
Tasik, lautan dan sungai yang bersih
Kehijauan hutan
dan rimba yang memukau

Tanda kebesaran ALLAH Yang Maha Pencipta

Berbagai-bagai lagi keindahan alam ini
Merata-rata di bumi yang hijau ini
Tahukah siapakah yang menciptakannya?
Dialah Allah Yang Maha Pengasih
dan Maha Penyayang

sy dah cuba cari link lagu nie, tapi tak jumpa..
sahabat, terima kasih utk lagu kamu =)


Berkata tentang alam, saya teringat saya masih berhutang dengan anda perihal winter travel tempoh hari. Maaf, tak punya banyak masa untuk mengarang. =( Jika diizinkan Tuhan dan diberi kelapangan saya akan masukkan post diari winter saya yea. Huhu. T T

* * *
Alhamdulillah, hujung minggu lalu berlalu juga walaupun segala yang dirancangkan tidak semuanya kesampaian. Manusia memang merancang, ALLAH juga penentu segalanya. Semoga masa yang kami habiskan bersama tidak menjadi sesuatu yang sia-sia. Ya Allah, lembutkanlah hati-hati yang hadir agar tersentuh dengan hidayahMu. Pereratkan ukhuwwah antara kami agar dengannya kami lebih kuat untuk bersama-sama mencari cinta dan redhaMu..=)

Tak sangka, tak sangka ini kali kedua berkunjung ke daerah itu. Sebuah tempat jatuh lagi dikenang. Tempat yang dahulu tangan ini nukilkan sesuatu untuknya. Bukan kerana keindahannya, tapi untuk sesuatu yang amat berharga. Sesuatu yang tidak pernah diperoleh sebelumnya.

Namun untuk kali ini, tiada nukilan baru dikarangkan. Cukuplah nukilan dahulu saya jamah semula, untuk menikmati semula saat-saat murni itu.. .sungguh, kenangan yang indah!

Kalau dahulu, saya bertemu seorang ibu muda yang baru mengandung anak sulungnya (baru 2bulan ketika itu), tapi kali ini bertempat yang sama, saya temui bayi comel yang pernah kami berkata tentangnya! Ohh.. setahun. Cepat sungguh berlalu.


Zharfan- inilah putera yang pernah mengalami eksiden yang dahsyat tika alam kandungnya

Maha Suci Allah yang telah menyelamatkan. Moga kelahirannya memberi rahmat. Agar besar nanti kamu menjadi perwira yang menegakkan agama Allah. Salam mahabbah wahai mujahid kecil. =)


"Have We not expanded for you your breast

And taken off from you your burden

Which pressed heavily upon your back

And exalted for you your esteem?

Surely with difficulty is ease...

And make your Lord your exclusive object"

[ Quran : 94]


Ya Allah,
bantu kami penuhi
janji-janji kami

Saturday, February 6, 2010

campuran rasa dan bahasa


Dengan nama A l l a h .. .

Hati terasa hendak berkata.. tapi terasa amat payah. Maaflah sahabat-sahabat. Laman ini lama tidak ber'update'. Maaf. Maaf untuk segala-galanya.

Kadang-kadang kita terpaksa menggunakan lagu untuk bersuara.

Maka saya ingin sertakan ini

Nadhirah Ali (jika anda membaca), anda pasti masih ingat lagu ini.. lagu suka-suka kita dahulu. Best (kan?)! Mana adik-adik dormku yang sekian lama tak bertemu? Yang meminjamkan kami kaset-kaset menarik itu. Yang sabar melayan karenah kakak-kakak ini yang banyak meragam. Yang sesekali sama-sama mencipta konsert jalanan di malam hari. Ingatkah, di kaki lima itu...

Adakah ini entri nostalgik. huhu

Uhh, serasa hati ini rindu. Di mana ya adik-adik sekalian. Kami doakan sentiasa dalam rahmat Tuhan. Moga suatu hari kita direzekikan bertemu lagi... jika ditakdirkan.

L a m a . Lama irama ini tidak dihayati. Tapi saat ini, kata-kata saya hilang, kerana dicuri oleh lirik ini.. Dahulu, kali pertama mendengar hati sudah jatuh. Dengar.. .di situ ada suatu ketenangan dalam luahan. Tapi dahulu, aplikasinya belum bertemu lagi. Tak tahu di mana mahu meletaknya. Tapi, hari ini.. saya akhirnya punya sebab untuk melagukan semula. Dedikasi untuk diri sendiri..

Oh, mungkin. Saya tampalkan kata-katanya di sini..


Ku biar kalam berbicara
Menghurai maksudnya di jiwa
Agar mudah ku mengerti
Segala yang terjadi

Sudah suratan Ilahi

Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa
Tak pernah ku ingini

Aku telah pun sedaya
Tak melukai hatimu
Mungkin sudah suratan hidupku
Kasih yang lama terjalin
Berderai bagaikan kaca

Oh teman, maafkanlah diriku

oh Tuhan...
Tunjukkan ku jalan
Untuk menempuhi dugaan ini
Teman, maafkan jika ku melukaimu
Moga ikatan ukhwah yang dibina
Ke akhirnya

Aku tidak kan berdaya
Menahan hibanya rasa
Kau pergi meninggalkan diriku
Redhalah apa terjadi
Usahlah kau kesali

Mungkin ada rahmat yang tersembunyi

lirik Sahabat Sejati : unic


musim tetap akan berlalu..


moga yang ditinggalkan adalah sebuah kedamaian..


Kalau Allah datangkan kesusahan. Itu tanda kasih sayang Tuhan. Andai hati hilang ketenangan...tandanya kita jauh dari Tuhan. Sengketa-sengketa yang timbul, sakit-sakit yang diderita, bukan berlaku tanpa sengaja. Allah ingin menegur kita, 'kau masih belum cukup bersyukur'. 'kau masih sombong denganNya', 'kau masih ber'kira''.. .

Kenapa harta kita hilang?? dicuri? Lewat ini hati saya tidak senang dengan kehilangan-kehilangan yang misteri..

... kerana kita masih belum cukup berinfak di jalanNya. Selalu merasa semua yang kita ada adalah kepunyaan kita. 'Ini aku punya'. Walhal kita lupa, semua itu bukan milik kita. Dari Allah ia datang..dan bila-bila masa Allah berhak mengambilnya. Harta sebenar-benar kita adalah yang kita sedekahkan (dengan keikhlasan), yang kita belanjakan di jalan Allah dengan betul-betul niat kerana Allah. Mungkin nampak hilang di dunia, tapi ia terkumpul di akhirat sana. Menjadi harta sebenar-benar kita...moga-moga dalam hitunganNya..

Tiba-tiba masuk bab 'harta'. .. entah, ini entri celarukah?


"Dan jangan sekali-kali orang-orang yang kikir dengan apa yang diberikan ALLAH kepada mereka dari kurniaNya, mengira bahawa (kikir) itu baik bagi mereka, padahal itu buruk bagi mereka.
Apa (harta) yang mereka kikirkan itu akan dikalungkan (di lehernya) pada hari k i a m a t . Milik Allah lah warisan (apa yang ada) di langit dan di bumi, ALLAH Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."

[surah Ali 'Imran : 180]


lebih-lebih peringatan
untuk aku..T,T

Wednesday, January 27, 2010

If we just look bright to see the signs


Salam sahabat

saya cuma singgah sebentar

moga dapat luangkan sedikit masa menonton klip video ini


Moga bermanfaat kepada semua =)

Salam sayang dari saya






Saturday, January 23, 2010

mari berlapang dada


Sehelai baju tebal itu tergantung bersama teman-teman seangkatannya di dalam sebuah kedai Penneys. Lama aku membelek-beleknya. Labuhnya, panjang lengannya, kedalaman poketnya, designnya, dan ohh hook yang macam bulu biri-biri! Memang melengkapi semua ciri-ciri idaman hati!


"Tengok ni, 'smart' kan. kalau harga dia 9euro dah lama aku beli," dengan excitednya saya menyatakan kepada sis A yang sama-sama mencuci mata. Beliau melihat dan turut sama bersetuju. Ohh, sesungguhnya sweater seperti itu sangat susah untuk dijumpai. Oh.oh.oh. Saya berlalu meninggalkan barisan pakaian bertanda harga 19.00 euro itu. Bersama angan-angan bahawa angka 1 itu akan hilang walaupun diri ini tahu akan kemustahilannya. Biarlah, jangan diturutkan hati sangat. Tidak berbaloi untuk menghabiskan 100ringgit Malaysia semata-mata untuk memenuhi kemahuan nafsu.


Hari berlalu, mungkin sudah 2, 3 bulan semenjak peristiwa itu. Dan ditakdirkan Allah, suatu hari jodoh saya kembali menemui sweater tersebut dan kali ini benar-benar Allah telah menjadikan tanda harganya berubah menjadi 9! Ya Allah, nikmatmu mana lagikah yang ingin aku dustakan..Aku masih ingat doaku suatu hari lalu, dan Engkau benar-benar telah mendengar doa hambaMu.. Maha suci Allah.


Dengan izin Allah, saya telah membeli sweater tersebut iaitu lebih kurang seminggu sebelum saya memulakan kembara di bumi sana. Atas sebab-sebab yang tertentu maka sweater itu turut dibawa bersama, maka bermulalah khidmatnya kepada saya. Hinggalah pada suatu hari, kala kaki ini mula menjejak di bumi Vienna, Austria.


Lama saya termenung di atas eskalator yang bergerak perlahan sebaik sahaja keluar dari Metro bersama beg troli yang setia bersama mengembara. Sesungguhnya tiada apa langsung yang dimenungkan. Fikiran saya kosong. Sekadar mengikut rentak langkah teman-teman yang sendiri kebuntuan tentang lokasi penginapan yang telah ditempah.


Tiba-tiba saya tersentak, "Ya Allah.." saya menoleh ke arah sis A. Sekadar tersenyum kepadanya. Beliau hairan. Saya berbisik kepadanya. Sweater kesayangan saya telah tertinggal dalam tempat meletak barang atas tempat duduk dalam bas yang baru sahaja kami naiki tadi.


'Ya Allah, aku baru sahaja memilikinya selama beberapa hari, dan Engkau telah mengambilnya semula daripadaku.'


Saya terfikir. Boleh sahaja kalau Allah ingin ingatkan saya semasa hendak turun dari bas tadi, bahawa saya menyimpan sesuatu di atas tempat duduk. Malah, kalau Dia berkehendak, boleh saja Dia mendetikkan di hati saya kala saya terpandang senyuman manis pakcik driver bus yang kebetulan ingin menyimpan barang di dalam stor, yang dihalangi kami di stesyen bas tadi.


Tapi Allah telah merancang segala-galanya. Saya hanya teringat bahawa saya kekurangan sesuatu apabila kami telah pun tiba di Stesen Metro Westbahnhof, jauh sudah daripada stesen bas ketibaan kami dari Budapest tadi. Sedikit terkilan, dan sedih. Hanya sabar dan redha adalah jalan keluar yang terbaik. Sis A hanya mampu memandang simpati dengan rasa kebersalahan dalam diri kerana tidak mengingatkan saya tentang sweater tersebut.


'Bukan, bukan kamu yang salah. Sememangnya sweater itu milik Allah.'



hanya tinggal k e n a n g a n



"Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh yang demikian itu mudah bagi ALLAH. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput darimu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNYA kepadamu.."


[al-Hadid : 22-23]


sesungguhnya semua itu

bukan milik kita selamanya


Thursday, January 21, 2010

tentang seorang teman jalanan


B i s m i l l a h

Lama saya kehilangan dari blog ini. Maaf ya. Tenggang waktu itu saya berada di luar sana. Dan kini sudah kembali. Tapi maaf, masih kehilangan kata untuk dikongsi. Terlalu banyak yang ingin dicoretkan, sampaikan sepatah pun tak berkesempatan lagi diceritakan. Hurmm.. alhamdulillah. Terima kasih Tuhan untuk perjalanan yang sungguh panjang itu. Nanti saya buatkan entri khas untuk itu. Insya a l l a h.

Sekarang, saya mahu menulis tentang sesuatu. Tentang apa yang baru sahaja berlaku. Tentang kisah pembukaan 'sekolah', tentang cerita-cerita bumi Dublin.

Alhamdulillah. Kembalinya kami dari jaulah itu (our next story =p) bersambutkan cuaca basah yang menyegarkan. Melompat-lompat hati di dalam kala kaki ini memijak kembali bumi Dublin tanpa salji (!). =) Ahaa, gembira. Kerana tubuh ini telah serik dengan kebekuan bumi yang diliputi ais kotor (iaitu apabila salji yang turun mula mencair). Terima kasih Allah, kerana mendengar doa-doa kami. Sungguh, tiada apa yang lebih mendamaikan melainkan pulang ke bumi asal diri berpijak. Yeay!

Sememangnya perjalanan bas dari airport ke city centre sebelum bertukar bas untuk sampai ke rumah itu, saya gunakan betul-betul untuk mengamati bumi yang telah lebih setahun saya duduki kini. Terasa sebuah kedamaian menyerbu masuk, apabila mata menatap jalan-jalan yang basah (dek kekerapan hujan), matahari pagi, kehijauan bumi dan suasana Dublin yang harmoni. Kini, saya lebih menghargai musim dingin di sini. (^~) A l h a m d u l i l l a h

Khabarnya, salji telah turun dengan agak lebatnya di bumi ini ketika jasad ini di sana. Tahap dingin yang begitu mendadak, sehinggakan bekalan air paip ke semua rumah di Dublin terhenti. Yup, ia berlaku 2,3 hari sebelum kepulangan kami. Teka kenapa. Kerana kolam/tasik (punca air utama) Dublin telah membeku! Kasihan teman-teman serumah saya yang baru sahaja pulang ke 'tanah air' (kedua), terus ketandusan air selama satu hari. Mujur hanya satu hari. Oh, lupa. Ahli-ahli rumah saya juga terpaksa bergelapan kerana entah macam mana litar lampu untuk bilik-bilik kami termasuk toilet di tingkat atas rumah ber'masalah' sebaik sahaja kami pulang. Terpaksa hanya bergantung pada lampu meja. Sempat juga saya merasa suasana ini selama beberapa hari kerana tiada siapa yang perasan bahawa sebenarnya 'short circuit' itu bukanlah perlu dibaiki, hanya perlu tolak suis fius di kotak suis utama je. Haih. Memang pengalaman yang menarik untuk mengunjungi tandas di malam hari (yang panjaaaaaaaaaaang) dengan hanya bertemankan lampu jalan 200m nun di tepi jalan sana. Tambahan rumah ini pula kekosongan, hanya tinggal saya dan seorang lagi sahabat (yang terpaksa membatalkan hasratnya untuk turut sama ke Manchester bersama teman-teman serumah yang lain). Huh, kalau tak, lagi ngerilah saya.

Perkara seterusnya, sekolah telah dibuka! Bermakna kami terpaksa berulang-alik semula melalui jalan yang sama, meneruskan rutin kami selaku pelajar tipikal yang tinggal di luar kampus. Semester ini bakal lebih merajinkan saya dan teman-teman San Lorenzo untuk hanya menapak pergi dan pulang dari university kerana musim bercuti baru sahaja berlalu - bermakna penjimatan itu perlu! =( ohh.

Keputusan peperiksaan bagi Semester 1 untuk Tahun kedua pengajian juga telah mengeluarkan dirinya pada jam 2am semalam. Alhamdulillah, semua ahli san lorenzo diluluskan ALLAH. Mumtaz ya akhawati =) Mari berjuang untuk semester ini pula. Chaiyoks semua!

Ohh, yang ini baru benar-benar ingin saya bicarakan dalam entri. Tentang peristiwa pagi tadi. Sudikan menjamahnya.

"10:26! Sekerlip pandangan mata itu juga kunci dicapai. Bergegas turun ke bawah, menyarung kasut dan sedikit berlari anak. Sempatkah kelas pukul 11.

'Lecture Theatre C'. 'Theatre C'. 'Theatre C'. Berulang-ulang fakta itu dimasukkan ke dalam otak. Supaya nanti tidak perlu susah-susah diri hendak mengeluarkan kertas jadual dari file yang telah selamat disimpan di dalam beg dahlia. 40minit. Kemungkinan akan lambat masuk lecture. Bas? Oh, mengeleng-ngeleng kepala secara literal sahaja. (tak sempat nak buat fizikalnya!). Kebarangkalian saya untuk sampai ke kelas lebih awal dengan berjalan kaki berbanding dengan menunggu dan menaiki bas yang akan berhenti-henti dengan lampu isyarat dan traffic jamp pagi adalah 0.99! Ok, harus berjuang juga dengan berjalan kaki...

Saya berjalan laju. Sama kadarnya dengan kecepatan Irish yang pada fikiran saya pasti jadi juara kalau mereka menyertai pertandingan walkathon/jogathon di Malaysia. Kerana mereka memang sentiasa berjalan laju! Simpang dan lampu isyarat diredah. Separuh perjalanan. Dari jauh kelihatan seorang gadis China/Korea ber'bubble' pink lembut lebih kurang sahaja umurnya terhenti di tepi jalan, gayanya seperti cuba menahan kereta (atau mungkin bas?) yang lalu. Saya toleh ke belakang, tiada bas.

"Do you know how to go to UCD?"

Oh, itu masalahnya. Dengan senang hati saya memberitahu saya juga memang sedang menuju ke UCD. Maka, kami bergegas bersama. Kerana dia juga sedang mengejar kelas jam 11oo. Dan sepanjang perjalanan itulah ceritanya bermula. Namanya Feng, tapi meletakkan dirinya sebagai Jennifer selaku nama Inggerisnya (kerana mat-minah Salleh selalu tidak ingat namanya. Haha, biasalah). Beliau rupanya sedang membuat master dalam bidang Media, datang dari China dengan tanggungan sendiri. Hebat tak hebat kakak kita ni (oh, beliau lahir tahun 1985).

Katanya dia cuba menahan kereta kerana ingin bertanya jalan ke UCD, tetapi tiada pemandu yang melayannya. Saya tak hairan tentang itu, walaupun saya yakin penduduk Irish ini majoritinya adalah peramah dan rela menolong. Cuma mungkin mereka juga sedang bergegas ke pejabat, dan mungkin juga mereka tidak faham dengan signal gadis tadi. Kalau saya yang memandu juga mungkin begitu, terpaksa berlalu apabila lampu isyarat sudah hijau.

Kini saya tahu, bahawa beliau baru sahaja berpindah ke luar kampus, dan tinggal bersama beberapa orang bangsa Cina, juga rakyat Malaysia yang telah tinggal di Dublin lebih kurang 20tahun lamanya. Rumahnya jauh di Dundrum (mungkin lebih jauh dari rumah saya). Dan dia sangat bersyukur kerana bertemu dengan saya. Sememangnya dia benar-benar seperti hilang punca di tepi jalan tadi. Kasihan. Mungkin kerana Tuhan hendak menemukan saya dengan gadis Christian ini, maka sebab itulah saya bergerak ke luar rumah lewat pagi ini. Kalau saya keluar 5 minit lebih awal, saya pasti saya tidak akan bertembung dengannya. Mungkin saya telah terkehadapan. Dan tiada siapa yang dapat menolongnya. Hmm..

"Are you Muslim?" agak terkejut juga apabila di awal perkenalan dan dalam kegegasan itu beliau bertanya sebegitu. Mungkinkah di China, dia tidak berkesempatan bergaul dengan masyarakat Islam di sana. Hrm...

"Yup, i am a Muslim. How about you. Are you Christian?" Sengaja saya meneka agamanya. Bukankah kebiasaan non-Muslim yang kita temui adalah beragama Kristian.

Lama juga beliau mendiam. Kemudian baru menjawab, "Yea, I am Christian." Saya tak pasti kenapa wujud gap masa di situ.

"Are you born as Muslim or do you choose this religion?" soalan seterusnya dari beliau. Sekilas, saya berfikir bagaimana mahu menjawab soalan tipikal ini. Sememangnya lahirnya saya telahpun berbintikan seorang ayah yang beragamakan Islam. Tapi bukan itu yang menjadikan saya Muslim. Dan saya tidak mahu itu menjadi sebab kepada perbezaan antara saya dan kenalan baru ini. Saya tidak mahu faktor kelahiran menjadikan dia menerima ia sebagai satu sebab kenapa dia bukan Muslim.

"I was born as a Muslim and I choose this religion."

Jawapan itu saya luahkan sambil tersenyum. Mencuri pandang reaksinya. Beliau nampak tenang. Mungkin sedikit tidak menjangka akan menerima dua jawapan. Sesungguhnya perjalanan itu amat singkat, tetapi banyak yang telah kami bicarakan. Selain bertukar pendapat tentang cuaca Dublin, pengguasaan bahasa Inggeris, dan cerita tentang ramainya pelajar Malaysia di sini dan bidang pengajian masing-masing, saya rasa 50% dari pertanyaannya adalah tentang Islam.

"Oh, is that your religion's... prayer place," beliau menunjuk kepada sebuah masjid (ICCI) tatkala kami melewati Clonskeagh. Saya sekadar mengiyakan. Cuma menambahkan perkataan 'mosque' sebagai pengenalan kepadanya. Kami telahpun melewati pintu pagar belakang UCD, dan beliau bertanya pula tentang tudung yang dipakai. Saya sekadar menjelaskan, saya mula memakainya semenjak umur 9tahun. Mungkin perkara baru baginya.

"Is that a tradition or..er.. what do you call it?"

"Hijab"

"Oh, yea, hijab."

"No, it's not a tradition. But it's an obligatory in Islam. In Islam, we, the women need to cover the whole of our body except our face and both arms."

"Does all Malaysian wear it?"

"Nope. Not all Malaysian wear this hijab. But Muslim do. And not all Malaysian are muslims.." saya menyambung cerita tentang kewujudan pelbagai bangsa di Malaysia. Dan saya mengakhirinya dengan kewujudan segelintir Chinese yang juga beragama Islam seperti saya.

"You must be very hot during the summer..." aha, saya sudah menjangka penilaian sebegitu. Bukankah itu juga penilaian yang sama ada pada sesetengah kita.

"Nope, it's not hot as you think. May be because we are used to it. But, it's really not hot."

Saya juga sudah kehilangan kata untuk menerangkannya tentang ini. Beliau hanya tersenyum. Mungkin juga masih berfikir-fikir tentang pakaian tutup litup yang pasti merimaskan. Saya juga tidak berpuas hati dengan jawapan sendiri. Mungkin ini pertama dan terakhir kami bertemu. Saya harus memberitahunya sesuatu. Sesuatu yang penting tentang makna sebuah hijab itu sendiri. Saya memandangnya,

"You know, by wearing this hijab, it's like protecting you. We like it. Because it's.. it's like protecting.. our dignity."

Ahah, saya tak pasti tentang penggunaan perkataan itu. Susah juga hendak berbicara dan menyampaikan sesuatu. Memang tunggang-langgang. Pagar grammar semua saya redah. 'Protecting dignity?' Wujud ke ayat macam tu. Huhu. Tapi, nampaknya beliau faham apa mesej yang cuba disampaikan. Seperti biasa, input itu masuk dan menjalani proses pencernaan dalam mindanya. Tiada soalan lagi. Kami hanya tersenyum.

Dan tiba di persimpangan yang memisahkan laluan ke Health Science Building, selepas saling mengucap selamat, kami berpisah. Saya fikir saya sudah sangat lewat. Handphone dikeluarkan, Jam menunjukkan pukul 1102. Ohh, cepat juga kami berjalan tadi. =)

Sebuah pertemuan singkat yang meninggalkan segaris kesan dakwah.. insyaAllah "


p/s- Sekarang saya sudah tahu. Saya terlupa memberitahunya bahawa umat Islam tidak hanya beribadah di dalam masjid. Kita solat di mana-mana sahaja asalkan tempat itu bersih, suci dan menghadap kiblat. Tak mengapalah, mungkin ada rezeki lain kali.. semoga direzekikan bertemunya lagi.


Bukan selalu dapat ungkapan mumtaz
untuk D+, C-, C+ dan terbaik hanya B+
T T



Secebis Renungan...

Islamik Testimonial